Blog Berita Online

Berita Utama

Penceroboh kawal ketat kebun Musang King seolah-olah kawasan itu mereka punya

BANGI – Penceroboh tanah kerajaan negeri Pahang di daerah Raub didakwa mengawal ketat setiap penjuru kawasan diceroboh termasuk sekitar simpang masuk.

Perkara berkenaan didedahkan Pertubuhan Pembela-Pembela Islam Malaysia (PEMBELA) selepas meninjau kawasan yang dijadikan kebun durian Musang King secara haram itu.

“Melihat keadaan di sini memang menyakitkan hati kerana setiap penjuru kawasan termasuk di setiap simpang masuk sekitar kawasan tersebut dikawal ketat oleh puak-puak penceroboh tersebut.

“Gaya mereka mengendap-ngendap dan mengambil gambar secara sembunyi di setiap sudut tidak ubah seperti kita masuk menceroboh kawasan mereka pula, padahal kita lalu di luar sahaja, jalan raya tempat awam,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Naib Pengerusi PEMBELA, Ustaz Masrizi Sat, PEMBELA Pahang serta pimpinan veteran tentera negeri ke lokasi tanah yang diceroboh di Raub buat pertama kali setelah penceroboh mendapat kebenaran untuk terus ‘menduduki’ tanah itu oleh Mahkamah Rayuan.

Selasa lepas, Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan 204 pekebun durian Musang King di sekitar Raub supaya menangguhkan notis arahan pengosongan tanah yang dikeluarkan oleh kerajaan negeri Pahang sehingga rayuan mereka diselesaikan.

Panel tiga hakim dianggotai Datuk Yaacob Md Sam, S. Nantha Balan dan Datuk M.Gunalan membuat keputusan tersebut pada prosiding yang dijalankan menerusi aplikasi zoom.

Menurut peguam Siew Choon Jern yang mewakili semua plaintif itu, Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan untuk menangguhkan semua prosiding berhubung notis pengosongan sementara menunggu rayuan selesai terhadap keputusan Mahkamah Tinggi menolak kebenaran untuk semakan kehakiman.

Sementara itu, PEMBELA kesal apabila pihak berkuasa seolah-olah tiada keupayaan untuk bertindak berhubung masalah yang dihadapi.

“Malang sungguh nasib kerajaan negeri Pahang, Jabatan Perhutanan dan penguat kuasa yang lain dibuli sebegini seperti tiada upaya padahal berkuasa. Sangat sedih dan mengecewakan.

“Anak kecil main api hanya tinggal lagu yang didendangkan dalam mesyuarat-mesyuarat agung sahaja nampaknya.

“Namun, kita akan sedaya upaya memikirkan cara untuk terus lawan di atas platform undang-undang sehingga maruah kita terutamanya rakyat Pahang ditebus kembali,” katanya.

Leave a Reply