Blog Berita Online

Berita Utama

Pendakwah asing boleh gugat hubungan kaum – Mujahid

KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu memeriksa latar belakang pendakwah asing sebelum mereka dibenar berdakwah di negara ini kerana hubungan masyarakat berbilang kaum dan agama di Malaysia ketika ini agak rapuh.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof, berkata langkah perlu dilakukan Kementerian Dalam Negeri (KDN) itu penting bagi memelihara keselamatan negara daripada diceroboh dakyah luar yang bertentangan norma masyarakat Malaysia.

“Keutamaan kita ketika ini adalah keselamatan negara. Rakyat Malaysia pelbagai kaum, bangsa dan agama yang agak rapuh. Jadi, apa saja boleh berlaku,” katanya kepada media di lobi Parlimen, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Dewan Rakyat semalam, bahawa semua pendakwah luar yang datang ke negara ini untuk mengadakan ceramah keagamaan akan diteliti dan diperiksa latar belakang terlebih dulu.

Ahli Parlimen Pagoh itu dilaporkan berkata, KDN turut melakukan proses semakan dengan badan keagamaan berkaitan yang ada dalam negara bagi memastikan kumpulan pendakwah itu bebas daripada fahaman songsang.

Mengulas lanjut, Mujahid berkata, langkah KDN itu konsisten dengan pendiriannya, bahawa mana-mana pendakwah, sama ada Islam atau bukan Islam, perlu diperiksa latar belakangnya kerana berkemungkinan besar membawa fahaman tidak sesuai dengan konteks Malaysia.

“Pendakwah luar juga berkemungkinan dalam kuliah atau ceramahnya, tidak menghargai sensitiviti kaum dan agama di negara ini. Ia bukan saja soal agama, tetapi tentang keselamatan dalam negara,” katanya.

Mujahid yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar itu menegaskan, pihaknya dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan membantu KDN, khususnya dalam memeriksa latar belakang pendakwah asing beragama Islam yang datang ke Malaysia untuk berceramah.

Leave a Reply