Blog Berita Online

Berita Utama

Pendatang Rohingya sengaja bocorkan bot elak diusir

SINDIKET pendatang asing tanpa izin (Pati) etnik Rohingya dikesan sengaja membocorkan bot dan merosakkan enjin dengan teruk sehingga tidak dapat dibaiki supaya dapat mendarat ke perairan negara.

National Task Force (NTF) dalam satu kenyataan berkata, kerosakan yang dialami bot dinaiki 269 Pati etnik Rohingya yang menceroboh perairan Langkawi menyebabkan tindakan pengusiran tidak dapat dilakukan.

Sehubungan itu, Kapal Maritim (KM) Kimanis memberikan bantuan makanan dan air bersih yang secukupnya kepada Pati berkenaan.

Menurut kenyataan itu, atas dasar kemanusiaan Majlis Keselamatan Negara (MKN) membenarkan bot berkenaan ditunda ke Jeti Teluk Ewa Langkawi.

“Pegawai Pemerintah Maritim Operasi Polis Diraja Malaysia (PDRM) Langkawi menerima maklumat berkenaan 10.30 malam semalam dan sebuah bot RH9 dari Pasukan Polis Marin dan KM Kimanis dari Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia diatur gerak ke kawasan terbabit untuk melaksanakan operasi pemantauan dan pengusiran.

“Pada 5 pagi ini, KM Kimanis mengesan lokasi serta memintas bot itu di perairan Langkawi dan bersedia melaksanakan proses pengusiran bot ke perairan antarabangsa,” katanya.

Kenyataan itu menjelaskan lagi, ketika KM Kimanis menghampiri bot itu, 53 Pati terjun ke laut kemudian berenang menuju ke pantai dan kesemua mereka berjaya ditahan APMM yang bersedia di daratan.

“Ketika pemeriksaan ke atas bot dijalankan didapati seramai 216 orang dan satu mayat wanita dijumpai di dalam bot itu.

“Pemeriksaan juga mendapati kesan bot sengaja dibocorkan dan enjin bot juga mengalami kerosakan yang teruk dan tidak dapat dibaiki,” katanya.

NTF turut memaklumkan, semua Pati itu kini ditahan dan diletakkan sementara di Kem Bina Negara Wawasan Langkawi.

“Mayat wanita yang dijumpai dibot itu diserahkan kepada PDRM untuk tindakan selanjutnya.

“Sehingga semalam seramai 396 orang Pati, 108 orang tekong dan 11 orang penyeludup ditahan, manakala seramai 140 Pati, enam orang tekong dan 22 buah bot diusir ketika cuba mencerobohi sempadan negara,” katanya.

Masyarakat digesa untuk terus memberi kerjasama dalam menyalurkan sebarang maklumat berkenaan dengan aktiviti anasir asing sama ada membabitkan Pati, aktiviti penyeludupan, pencerobohan sempadan atau sebarang aktiviti jenayah rentas sempadan melalui talian hotline Pusat Operasi NTF (011-62511223).

Leave a Reply