Alor Gajah: Seorang pekerja perkapalan yang baru melangsungkan perkahwinan 18 hari lalu maut sejurus motosikal ditunggang dirempuh kereta.
Dalam kejadian jam 8.15 malam tadi, mangsa, Anwarie Azim Rozi, 23, maut serta merta di lokasi berhampiran kilometer 196.6, Lebuhraya PLUS arah selatan.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, siasatan awal mendapati mangsa menunggang Yamaha Y15Z sebelum dirempuh kereta model Proton Persona.
Menurutnya, mangsa maut serta merta di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.
“Bagaimanapun lelaki berusia 47 tahun yang memandu Proton Persona tidak mengalami kecederaan
‘Siasatan awal mendapati mangsa dan pemandu kereta itu dalam perjalanan dari arah Seremban menghala ke Ayer Keroh, Melaka.
“Bagaimanapun sebaik tiba di lokasi kemalangan, Proton Persona berkenaan hilang kawalan lalu merempuh motosikal mangsa.
“Susulan kemalangan, mangsa tercampak ke atas jalan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya.
Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Alor Gajah untuk bedah siasat manakala pemandu kereta diminta hadir ke Balai Polis Trafik Alor Gajah untuk siasatan lanjut.
Polis turut meminta saksi kejadian untuk tampil membantu siasatan dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Leave a Reply