PARIT – Gara-gara cuba mengelak bangkai babi, seorang lelaki maut apabila kereta dipandunya bertembung sebuah lori di Kilometer 5, Jalan Kampung Gajah-Tanjung Tualang berhampiran Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Pasir Salak dekat sini.
Dalam kejadian pada pukul 7.40 pagi ini itu, mangsa, Jamaludin Abdullah, 29, dari Malim Nawar meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.
Difahamkan, mangsa baru melangsungkan perkahwinan beberapa bulan yang lalu.
Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintenden Barudin Wariso berkata, kejadian berlaku ketika mangsa memandu sendirian dari arah Tanjung Tualang menghala ke Kampung Gajah.
Menurutnya, kemalangan berlaku apabila mangsa dipercayai mengelak bangkai babi di tengah jalan, menyebabkan kereta dipandunya masuk ke laluan bertentangan.
“Ini menyebabkan kereta mangsa terlibat kemalangan dengan sebuah lori yang datang dari arah bertentangan.
“Mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu lori berusia 26 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan di sini. – UTUSAN ONLINE
Leave a Reply