Berita Utama

Pengasas Tabung Haji, Prof Ungku Aziz pulang ke rahmatullah

Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid meninggal dunia akibat sakit tua di Hospital Prince Court di ibu negara pada pukul 4.30 petang ini, lapor Astro Awani.

Menurut isterinya, Rohayah Ahmad Bahiran, jenazah Ungku Aziz, 98, akan dibawa ke Masjid At-Taqwa dan dijangka dikebumikan pada malam ini.

Allahyarham merupakan tokoh penting di sebalik penubuhan Lembaga Urusan Tabung Haji dan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa).


Ungku Abdul Aziz yang dilahirkan di London, United Kingdom pada 28 Januari 1922 merupakan seorang tokoh yang paling disegani terutamanya dalam bidang pendidikan.

Selain itu, beliau juga adalah seorang ahli ekonomi yang banyak menyumbang idea kepada agama, bangsa dan negara. Beliau pernah memenangi Hadiah Budaya Asia Fukuoka IV pada tahun 1993.

Beliau yang dianugerahkan gelaran “Profesor Diraja Ekonomi” (Pembangunan Luar Bandar) pada 17 Jun 1978.

Pada 21 Julai 2002 beliau dianugerahkan Tokoh Koperasi Negara sempena Hari Koperasi Negara.

Allahyarham merupakan bapa kepada bekas gabenor Bank Negara, Zeti Akhtar.

Dari hanya satu ‘paperwork’ Ungku Aziz cipta Tabung Haji

Kalau kita lalu di Jalan Tun Razak yang sibuk dengan kenderaan yang lalu lalang di ibu negara, kita dah boleh lihat bangunan Tabung Haji yang tersergam indah itu.

Namun yang paling penting, bukan sekadar bangunan, tapi jasanya dalam melahirkan jutaan jemaah negara menunaikan ibadah haji, yang satu ketika dulu seolah-olah satu misi yang sangat sukar untuk orang Islam di negara ini untuk berbuat demikian.

Namun tak ramai yang tahu siapa yang mencetus atau mengasas idea yang cukup ‘brilliant‘ ini sehingga konsep Tabung Haji sekarang diguna pakai oleh banyak negara Islam di seluruh dunia.

Jawapannya tak lain tak bukan, ia lahir dari idea seorang anak Johor yang mempunyai Phd dalam bidang ekonomi dari Universiti Waseda, Jepun – PROFESOR DIRAJA UNGKU AZIZ UNGKU ABDUL HAMID atau nama mesranya Pak Ungku

Pada tahun 1959, ketika usianya baru 37 tahun, Ungku Aziz telah mengemukakan kertas kerja bertajuk ”Rancangan Membaiki Keadaan Ekonomi Bakal-bakal Haji” kepada kerajaan dan sejak itu idea beliau telah dikaji dan diperkembangkan sehingga apa yang kita lihat sekarang ini.

Daripada ‘ZERO’, Tabung Haji (TH) sekarang adalah Pengurus Dana Islam terbesar negara dengan dana melebihi RM55 bilion!

TH juga telah menceburi bidang pelaburan di beberapa sektor seperti perladangan, pembangunan hartanah dan pembinaan, kewangan Islam, teknologi maklumat, minyak dan gas, perkhidmatan pelancongan dan makanan halal dengan keuntungan bersih melebihi RM3 bilion setiap tahun. Pendeposit mereka juga dah cecah 8 juta orang.

Memetik kata-katanya sewaktu diwawancara Utusan Malaysia tidak lama dulu mengenai bagaimana tercetusnya idea beliau untuk mewujudkan Tabung Haji.

“Saya lihat orang kampung akan menjual kambing, kerbau atau tanah mereka untuk menunaikan haji. Sekembalinya mereka dari sana, mereka tiada ternakan dan sumber rezeki lagi.

“Sebab itu, saya cetuskan idea penubuhan Lembaga Urusan dan Tabung Haji (LUTH). LUTH sebenarnya membantu ekonomi orang Melayu untuk jangka masa yang panjang” – Ungku Aziz

Untuk rekod, Pak Ungku gemar membaca dan telah membaca lebih 70,000 buah buku sejak 70 tahun lalu. Beliau sendiri memiliki lebih 7,000 buku di beberapa tempat iaitu di rumah dan pejabatnya.

Kamus saja ada 20 kamus yang masih dipakai di biliknya. Beliau telah menulis lebih 1,000 kertas kerja mengenai pelbagai bidang yang telah diterbitkan.

Loading...

Leave a Reply

error: Content is protected !!