KUALA PILAH – Seorang penghantar makanan Foodpanda maut selepas motosikal ditunggangnya merempuh sebuah kereta di Kilometer (KM) 25 Jalan Seremban-Kuala Pilah pada Sabtu.
Dalam kejadian jam 8.30 pagi itu mangsa, Muhammad Afiq Rudhuan, 21, maut di tempat kejadian akibat kecederaan di kepala.
Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Amran Mohd Ghani berkata, berdasarkan siasatan awal, kejadian dipercayai berlaku apabila kereta jenis Perodua Axia yang dipandu wanita berusia 26 tahun dari arah Seremban menghala ke Kuala Pilah membelok masuk ke simpang Taman Sri Terachi, Kuala Pilah.
Menurutnya, mangsa dari arah bertentangan tidak sempat mengelak lalu melanggar kereta tersebut.
“Rempuhan itu menyebabkan kereta Perodua Axia berkenaan terbabas dan melanggar sebuah kereta Proton Saga yang sedang berhenti di laluan keluar simpang tersebut.
“Bagaimanapun dua pemandu kereta itu tidak cedera. Mayat mangsa dibawa ke unit forensik Hospital Tuanku Ampuan Najihah, Kuala Pilah untuk bedah siasat,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Sabtu.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Leave a Reply