Berita Utama

Penunggang basikal maut dirempuh kereta

IPOH: Seorang lelaki berusia 19 tahun maut setelah terlibat kemalangan jalan raya dengan sebuah kereta di Jalan Sultan Nazrin Shah di sini semalam.

Dalam kejadian sekitar pukul 10.16 malam itu, mangsa, Luqman Hakim Mohamed Amin meninggal dunia di tempat kejadian dipercayai akibat kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, kemalangan itu melibatkan basikal ditunggang mangsa dan sebuah kereta dipandu lelaki berusia 40-an.

Katanya, siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku ketika kereta jenis Toyota Vios itu dalam perjalanan dari arah Simpang Pulai menghala ke Ipoh.

“Semasa melalui lampu isyarat hijau, basikal ditunggang mangsa telah keluar dari simpang sebelah kanan dan melintas secara tiba-tiba di laluan kenderaan tersebut.

“Pemandu kenderaan itu cuba mengelak ke kiri namun terkena basikal mangsa dan menyebabkan dia terjatuh di atas jalan.

“Mangsa yang mengalami kecederaan, meninggal dunia di lokasi kejadian. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat,” katanya.

Tambahnya, siasatan kejadian itu dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Loading...

Leave a Reply

error: Content is protected !!