Blog Berita Online

Berita Utama

Penunggang maut, Ducati Panigale rempuh SUV

PASIR MAS – Seorang lelaki maut selepas motosikal berkuasa tinggi jenis Ducati Panigale yang ditunggangnya merempuh sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) di Jalan Rantau Panjang-Pasir Mas berhampiran Kampung Gual Mesa di sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 5.30 petang itu, mangsa, Muhammad Alif Aiman Ibrahim, 29, yang merupakan pekerja sebuah syarikat swasta meninggal dunia di lokasi kejadian selepas kecederaan parah pada beberapa bahagian anggota badan.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohamad Roy Suhaimi Sharif berkata, siasatan awal mendapati, SUV jenis Honda CR-V yang dipandu oleh seorang wanita berusia 50 tahun sedang dalam perjalanan dari arah Pasir Mas menghala ke Rantau Panjang.

Katanya, wanita itu telah berhenti di bahu jalan raya untuk membeli sayur-sayuran sewaktu tiba di lokasi kejadian.

“Selesai membuat pembelian, wanita berkenaan kembali memandu kenderaannya dan telah membuat pusingan U untuk berpatah balik ke arah Pasir Mas.

“Pada masa sama, Muhammad Alif Aiman yang sedang menunggang motosikal dari arah Rantau Panjang tidak sempat membrek dan mengelak sebelum merempuh SUV itu.

“Kemalangan itu menyebabkan mangsa tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – K! ONLINE

Leave a Reply