Blog Berita Online

Berita Utama

Penunggang motosikal berkuasa tinggi maut jatuh gaung

RAUB: Seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi maut dalam kemalangan jalan raya di kilometer 1, Jalan Tranum ke Bukit Fraser di sini hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 1.30 petang tadi, motosikal mangsa, Razali Halimi, 49, dipercayai terbabas dan jatuh ke dalam gaung di tempat kejadian.

Ketua Polis Raub, Superintenden Kama Azural Mohamed berkata, siasatan awal mendapati mangsa bersama rakannya dalam perjalanan dari arah Raub menghala ke Kuala Kubu Bharu, Selangor.

“Apabila tiba di tempat kejadian, penunggang motosikal tersebut telah hilang kawalan ketika melalui sebuah selekoh dan terus terbabas jatuh ke dalam gaung di sebelah kiri jalan.

“Akibat kemalangan tersebut, mangsa yang mengalami kecederaan parah di bahagian kaki dan kepala disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya di sini hari ini.

Menurut Kama Azural, kes kemalangan itu disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengakutan Jalan 1987.

Sementara itu, jurucakap Balai Bomba Raub berkata, anggota bomba dan penyelamat yang tiba di tempat kejadian mendapati sebuah motosikal berkuasa tinggi terbabas dan terjatuh ke dalam gaung sedalam 15.24 meter di Jalan Tranum ke Bukit Fraser.

“Operasi mengangkat mangsa naik ke atas dengan menggunakan pengusung dan sistem takal tali. Mangsa berjaya dinaikkan dan didapati meninggal dunia setelah disahkan oleh petugas perubatan Kementerian Kesihatan.

“Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” jelasnya.

Leave a Reply