Berita Utama

Penunggang motosikal maut digilis treler, badan hampir putus dua

KUALA LUMPUR – Seorang penunggang motosikal maut selepas digilis dan diseret dalam kemalangan dengan sebuah treler di Jalan Sungai Buloh berhampiran Kem Tentera Sungai Buloh dekat sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.29 tengah hari itu, mangsa, Mohamad Hafiz, 28, berasal dari Bercham Megah, Perak dikatakan diseret sejauh kira-kira 14 meter menyebabkan badannya hampir terputus dua daripada bahagian pinggang.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shariat, berkata mangsa yang menunggang motosikal Modenas Kriss melanggar belakang sebuah Proton Waja yang cuba mengubah laluan ke kiri jalan.

“Mangsa tidak sempat mengelak dan terlanggar belakang kiri Proton Waja terbabit dan jatuh di sebelah kiri laluan.

“Pada masa sama, sebuah treler yang berada di belakangnya tidak sempat mengelak tergilis mangsa dan menyeretnya sejauh kira-kira 14 meter,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya lagi, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat.

Azman berkata, pemandu kereta Proton Waja berkenaan yang juga seorang lelaki warga Bangladesh ditahan bagi membantu siasatan yang dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati pemandu warga Bangladesh tidak mempunyai lesen memandu sah dan kereta yang dipandu adalah milik majikannya.

Orang ramai yang menyaksikan kemalangan itu diminta berhubung dengan pegawai penyiasat, Inspektor Muhammad Fahmi di talian 014-3667353 untuk membantu siasatan.

Sementara itu, Azman juga berkata, polis turut memohon saksi kemalangan untuk tampil membantu siasatan berhubung satu kemalangan maut membabitkan seorang penunggang motosikal dengan sebuah kereta di Jalan PJS 1/25, Petaling Jaya dekat sini, Sabtu lalu.

Dalam kemalangan kira-kira jam 12.10 tengah malam itu, mangsa K Shanmugam, 62, maut di tempat kejadian selepas motosikalnya bertembung dengan Toyota Vios.

Mangsa yang bekerja sebagai pengawal keselamatan dikatakan masuk ke arah bertentangan untuk mengisi minyak di sebuah stesen minyak berhampiran.

Saksi yang melihat kemalangan diminta berhubung dengan pegawai penyiasat, Nazreen Nasharuddin ditalian 010- 2105101 untuk membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 44 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Loading...

Leave a Reply