Berita Utama

Perutusan khas PM 6 petang ini

SHAH ALAM – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan membuat perutusan khas mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada jam 6 petang, Isnin.

Poster mengenai perutusan itu dimuat naik di laman Facebook rasmi Muhyiddin.

Perutusan itu juga akan disiarkan secara langsung di rangkaian stesen televisyen tempatan, Radio Televisyen Malaysia (RTM), Bernama TV, TV3 dan Astro Awani dan Facebook Muhyiddin.

Sebelum ini, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Perdana Menteri akan membuat pengumuman khas pada Isnin bagi memaklumkan tindakan-tindakan yang diambil kerajaan mengambil kira situasi semasa penularan jangkitan Covid-19 yang menunjukkan peningkatan sejak kebelakangan ini.

‘Tiada cara lain, PKP bersasar paling berkesan’

KUALA LUMPUR: Kerajaan wajar mempertimbangkan pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan unjuran Kementerian Kesihatan (KKM) mendapati jangkitan COVID-19 boleh mencecah 8,000 kes sehari seawal minggu ketiga Mac depan.

Ia termasuk menyekat semula pergerakan rentas negeri atau daerah terutama membabitkan zon merah yang didapati mencatatkan kes harian tinggi.

Pakar virologi dari Universiti Malaya (UM), Prof Dr Sazaly Abu Bakar, berkata pelaksanaan PKP itu bagaimanapun perlu mengguna pakai model lebih bersasar dan meluas bagi mengimbangi keperluan kesihatan dan ekonomi.

“Kita sudah tiada cara lain. Cara yang terbukti berkesan bukan sahaja di negara kita, malah di negara lain adalah melaksanakan semula PKP, bukan lagi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Bagaimanapun, ia bukan seperti PKP yang pertama kali dikuatkuasakan pada Mac tahun lalu.

“Kita belajar daripada apa kita lalui dahulu, ubah suai pelaksanaan PKP itu, lebih bersasar tetapi diperluaskan mengikut negeri, mukim atau daerah yang dikategorikan sebagai zon merah.

“Tiada cara lain kerana rakyat masih berdegil, tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan,” katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Sazaly mengakui pelaksanaan semula PKP akan memberi kesan kepada ekonomi negara terutama dalam kalangan pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS).

Jelasnya, kes melonjak lebih 3,000 semalam adalah contoh kegagalan pematuhan SOP dalam kalangan rakyat yang mengambil ringan aspek keselamatan dan kesihatan diri sendiri.

“Unjuran kes mencecah 8,000 sehari amat membimbangkan, ditambah dengan musim perayaan bakal menjelang tidak lama lagi.

“Sudah tentu jangkitan akan meningkat kerana berlaku pergerakan besar-besaran untuk balik kampung dan sebagainya,” katanya.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam Fakulti Perubatan Universiti Malaya, Prof Dr Victor Hoe Chee Wai Abdullah, turut berkongsi pandangan sama dan berpendapat pelaksanaan semula PKP adalah langkah terbaik mengekang penularan COVID-19.

“PKP adalah yang terbaik bagi mengawal penularan COVID-19, namun pelbagai faktor perlu diambil kira seperti risiko kesihatan, sosial dan ekonomi.

“Jika kerajaan tidak berhasrat melaksanakan semula PKP, perlu ada pilihan lain.

“Pihak berkuasa juga disyorkan tidak lagi berlembut dengan pesalah yang melanggar SOP. Jangan beri diskaun kompaun kerana ia menyebabkan mereka tidak takut melakukan kesalahan,” katanya.

Beliau turut mencadangkan kerajaan menaik taraf sistem pengesanan kontak rapat pesakit COVID-19 dengan mengaplikasi penggunaan teknologi digital.

Katanya, penggunaan Rapid Test Kid (RTK) Antigen wajar diperluaskan berbanding penggunaan Polymerase Chain Reaction (PCR) supaya pengesanan kontak rapat dapat dilakukan dengan lebih cepat.

Semalam, KKM meramalkan gelombang ketiga pandemik itu boleh meningkat secara mendadak kepada 5,000 kes sehari menjelang minggu ketiga Februari dan terus melonjak 8,000 kes sehari pada Mac jika nilai kebolehjangkitan (RO) melepasi kadar 1.2.

Loading...

Leave a Reply

error: Content is protected !!