Berita Utama

Pesawat ringan didakwa terhempas di Tanjung Bungah

GEORGETOWN – Sebuah pesawat ringan dikhuatiri terjunam sebelum terhempas dalam laut berhampiran perairan Tanjung Bunga di sini, hari ini.

Pesawat terbabit dipercayai berlegar di udara kawasan itu kira-kira jam 2 petang sebelum dipercayai terhempas.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, pihaknya menerima laporan daripada saksi memaklumkan bahawa dia bersama rakannya ternampak pesawat ringan itu terhempas ke dalam laut.

Katanya, mereka mendakwa melihat pesawat itu terhempas kira-kira jam 2 petang sebelum bertindak melapor kepada pihak berkuasa.

“Polis bersama beberapa agensi sudah menjalankan operasi mencari dan menyelamat di kawasan itu.

“Namun sehingga jam 6.30 petang, kami tidak menemui sebarang petunjuk atau bangkai pesawat seperti yang didakwa terhempas,” katanya, di sini.

Mengulas lanjut, Soffian berkata, sehingga kini pihak polis masih belum menerima laporan berhubung insiden pesawat terhempas dari Jabatan Penerbangan Awam (DCA).

Katanya, operasi dihentikan kira-kira jam 7 petang berikutan cuaca gelap.

“Ia akan disambung esok sekiranya pihak polis mendapat maklumat baharu mengenai kejadian itu.

“Orang ramai yang melihat kejadian itu diminta tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. Setakat ini, kami memang tidak menerima sebarang laporan daripada keluarga mangsa,” katanya.

Sementara itu, jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berkata, pihaknya bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan pada jam 2.28 petang.

Katanya, kerja menyelamat membabitkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bagan Jermal.

“Ketika tiba di lokasi, didapati tiada maklumat yang jelas mengenai kejadian itu dan jarak daratan dengan lokasi dianggarkan kira-kira empat kilometer,” katanya.

Loading...

Leave a Reply