Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) mengulangi pendirian untuk menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri.
Berikutan itu, ia menjemput semua Ahli Parlimen yang menentang dan menolak Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama-sama menyokong Anwar bagi membuktikan sokongan serta membentuk satu majoriti baharu di Parlimen.
“Walaupun setakat ini umum sedia maklum hanya 100 Ahli Parlimen menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri dan 120 Ahli Parlimen tidak menyokong, namun beliau enggan meletakkan jawatan secara terhormat berdasarkan Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan bersama, hari ini.
Majlis Presiden PH turut menegaskan, demi masa depan rakyat dan negara, semua pihak menentang Muhyiddin perlu bersama di meja rundingan sekarang untuk membentuk sebuah kerajaan yang inklusif, adil dan progresif di mana setiap parti dilayani secara adil.
“Oleh itu, amatlah penting semua pihak dapat bersatu di bawah sebuah kerajaan berjiwa rakyat yang mampu memperbetul segala kepincangan dan kegagalan Perikatan Nasional menjelang undi percaya terhadap Perdana Menteri nanti.
“Ini supaya sebarang pengambil alihan kerajaan hanya akan berlaku bersama pihak-pihak yang bersetuju dengan prinsip-prinsip dan landasan perjuangan termasuk reformasi institusi, tatakelola dan urus tadbir yang baik, dan institusi kehakiman yang bebas,” katanya.
Leave a Reply