Politik

PH akan kembali ke Putrajaya, kata Mat Sabu

Presiden PAN Mohamad Sabu mendakwa kerajaan persekutuan hari ini pimpinan Muhyiddin Yassin sebagai kerajaan kelam-kabut dan tidak ada nama.

“Kita tak tahu kerajaan hari ini nak bawa kita ke mana. Sekarang ini kerajaan yang ada ini tidak ada nama.

“Hari ini (semalam) MIC umum mereka tak akan menyertai Perikatan Nasional (PN). Umno pula umum: ‘Kami bertanding di semua kerusi yang kami menang, satu kerusi pun tidak akan bagi Bersatu.

“Kemudian (bekas menteri besar) Ahmad Said berkata Umno nak bertanding di semua kerusi di Terengganu… Pakat macam mana ini?” katanya semasa berucap di ceramah perdana di Felda Trolak Utara malam tadi.

Turut hadir bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad yang juga pengerusi penaja Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

Menurut Mohamad, orang ramai ketika ini keliru dengan apa yang berlaku dalam gabungan PN kerana dilihat tidak tersusun seperti sepatutnya, termasuk dalam kalangan parti komponennya.

“Kita tidak tahu mereka ini gabungan apa? Kerajaan hari ini kerajaan yang paling kelam-kabut,” katanya.

Ahli Parlimen Kota Raja dan bekas menteri pertahanan itu hadir berkempen untuk calon bebas mewakili pembangkang, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi.

PH akan kembali ke Putrajaya

PRK DUN Slim diadakan berikutan kematian penyandangnya Mohd Khusairi Abdul Talib pada 15 Julai lalu. Pengundian ditetapkan pada 29 Ogos.

Amir Khusyairi akan berdepan calon BN, Mohd Zaidi Aziz dan seorang lagi calon bebas, Santharasekaran Subramaniam, manakala Pakatan Harapan (PH) tidak meletakkan calonnya.

Berucap di hadapan lebih 1,000 hadirin, Mohamad yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu turut membuat jenaka bahawa kerajaan hari ini bernasib baik kerana penularan koronavirus.

Dengan adanya wabak berkenaan, katanya, kerajaan sekarang mempunyai alasan untuk mengaburi orang ramai apabila keadaan ekonomi tidak berkembang seperti diharapkan.

“Nasib baik ada koronavirus. Mereka kata pelaburan tak datang kerana koronavirus, pelancong tak datang kerana koronavirus. Lepas ini hilang benda (wabak) tu, tak tahu lah.

“Tapi saya yakin sebelum hilang penyakit itu, insya-Allah kami akan kembali mengambil alih kerajaan pusat,” katanya.

Untuk rekod, Mat Sabu merupakan bekas Menteri Pertahanan semasa Kerajaan PH sebelum ia ditumbangkan melalui pembelotan beberapa pemimpin PKR serta Bersatu.

Ia kemudian membawa kepada penubuhan PN yang mendapat sokongan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Bagaimanapun Muhyiddin menghadapi kesukaran untuk mendaftarkan PN sebagai gabungan rasmi selain kerumitan hubungan antara parti yang turut melibatkan Muafakat Nasional.

Umno dan MIC sudah mengesahkan mereka menarik diri daripada menyertai PN, manakala GPS dari Sarawak dan Gabungan Bersatu Sabah turut enggan menyertai gabungan berkenaan secara rasmi.

Loading...

Leave a Reply

error: Content is protected !!