Politik

Kerajaan Sabah runtuh, PH tuduh Musa Aman tidak bermoral

KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) memberi sokongan penuh kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal untuk menghadapi pilihan raya negeri tergempar.

Dalam satu kenyataan media hari ini, Majlis Presiden PH berkata, mereka berharap agar rakyat Sabah dapat menyokong Mohd Shafie dan parti bersekutu untuk mengembalikan mandat kepada kerajaan negeri.

Selain itu, Majlis Presiden berkata, rakyat Sabah berpeluang untuk menetapkan semula (reset) politik nasional dengan mengangkat politik berprinsip serta menolak budaya politik lompat parti dan memulihkan mandat rakyat di mana kuasa rakyat lah yang menjadi faktor penentu berbanding kuasa wang ringgit.

“Hanya rakyat yang akan mampu menewaskan rampasan kuasa jahat yang telah dilancarkan bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman dengan sokongan penuh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

“Pakatan Harapan mengecam sekeras-kerasnya politik khianat yang dilakukan Tan Sri Musa Aman, Perdana Menteri, Menteri Dalam Negeri dan Perikatan Nasional serta tawaran sehingga RM32 juta seorang, bersekali dengan tawaran jawatan Timbalan Ketua Menteri,” menurut kenyataan itu lagi.

Terdahulu, Mohd Shafie, yang juga Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.

Dalam satu sidang media khas pada Khamis, beliau menjelaskan, pembubaran DUN Sabah itu telah mendapat perakuan Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin.

Mohd Shafie berkata, pilihan raya negeri perlu diadakan dalam jangka masa 60 hari dan beliau akan terus menjadi Ketua Menteri Sabah sementara (caretaker).

Dalam pada itu PH berkata, tindakan Musa untuk menjatuhkan kerajaan negeri dengan cara membeli wakil rakyat adalah cubaan jahat, tidak demokratik dan tidak bermoral.

“Pakatan Harapan menyatakan sokongan penuh bagi menewaskan cubaan lompat parti yang sangat cela ini – yang telah dicetuskan oleh anasir-anasir Perikatan Nasional – dengan segera membubarkan Dewan Undangan Negeri Sabah dan mengembalikan mandat kepada rakyat.

“Tambahan kepada itu, cubaan rampasan kuasa di tengah-tengah usaha negara membendung wabak COVID-19 adalah satu tindakan yang sangat tidak bertanggungjawab. Nampaknya kesihatan orang ramai bukanlah keutamaan berbanding usaha merebut pangkat dan kuasa,” menurut kenyataan itu lagi.

Loading...

Leave a Reply