Politik

PH tetap bertanding walaupun kalah teruk PRK DUN Chini

SHAH ALAM – Pakatan Harapan (PH) perlu meletakkan calonnya dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini pada 4 Julai ini meskipun menyedari mereka mempunyai peluang tipis merampas kerusi Barisan Nasional (BN).

Menurut Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abdul Samad, walaupun PH mempunyai rekod kekalahan teruk dalam lima PRK lepas namun ia boleh dijadikan medan menyampaikan mesej bahawa pentadbiran Putrajaya perlu bersih.

“DUN Chini memang kerusi di mana kita alami kekalahan agak dahsyat dalam PRU lepas, sama ada kita tanding atau tidak belum diputuskan dan pihak mana bertanding juga belum dimuktamadkan.

“Tapi secara prinsipnya, kita perlu bertanding untuk tidak beri laluan mudah, kalau tidak bertanding ia akan dianggap kita tak berani bertanding.

“Kita nak bawa mesej bahawa kerajaan perlu bersih dan bebas rasuah, kita perlu suarakan pada setiap masa,” katanya ketika sidang media di pejabatnya hari ini.

PRK DUN Chini, Pahang akan diadakan pada 4 Julai depan, manakala hari penamaan calon adalah pada 20 Jun.

PRK DUN Chini diadakan susulan kematian penyandangnya Abu Bakar Harun, 60, di Hospital Kuala Lumpur akibat serangan jantung selepas terjatuh dan mengalami sesak nafas di Bangsar, 7 Mei lalu.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), Allahyarham Abu Bakar mempertahankan kerusi disandangnya dalam saingan tiga penjuru dengan memperoleh majoriti 4,622 undi.

Allahyarham Abu Bakar menewaskan calon Pas yang mendapat 5,405 dan calon PKR mewakili PH hanya mendapat 1,065 undi.

DUN Chini berada di bawah kawasan Parlimen Pekan yang diwakili bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. – MalaysiaGazette

Loading...

Leave a Reply