Berita Utama

PM pengerusikan mesyuarat khas MKN pagi ini

PUTRAJAYA – Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pagi ini mempengerusikan mesyuarat khas Majlis Keselamatan Negara berkenaan Covid-19 di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya.

Mesyuarat itu antaranya dihadiri oleh Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Kanan Pendidikan Dr Radzi Jidin serta menteri-menteri berkaitan.

Turut hadir Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador dan Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jeneral Tan Sri Affendi Buang.

Semalam, Malaysia mencatatkan 287 kes baharu Covid-19, iaitu jumlah kes harian tertinggi pernah direkodkan sejak permulaan pandemik itu di negara ini.

287 kes Covid-19, tertinggi dalam sejarah

Jangkitan baharu Covid-19 yang merekodkan 287 kes hari ini menjadikan jumlah kes harian tertinggi dicatatkan di negara ini yang mencatatkan keseluruhan kes mencecah 11,771 dengan kes aktif 1,540.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, semua 287 kes baharu itu membabitkan penularan tempatan.

“Daripada jumlah itu, 129 kes dilaporkan di Kedah, Sabah (113 kes), Selangor (31 kes), Perak (tiga kes), Terengganu (tiga kes), Negeri Sembilan (dua kes), Kelantan (dua kes), Kuala Lumpur (satu kes), Johor (satu kes), Pahang (satu kes) dan Labuan (satu kes).

“Daripada jumlah itu, 20 kes adalah pengunjung yang pulang dari Sabah sekali gus menjadikan jumlah kes mempunyai sejarah ke negeri terbabit adalah 139 kes sejak 20 September lalu,” katanya pada sidang media harian di Putrajaya, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, terdapat 22 kes positif Covid-19 sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan empat kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Sebanyak 81 kes dilaporkan pulih hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya adalah sebanyak 10,095 kes atau 85.8 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Tiada pertambahan kes kematian dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia kekal sebanyak 136 kes atau 1.18 peratus daripada jumlah keseluruhan kes,” katanya.

Loading...

Leave a Reply

error: Content is protected !!