Blog Berita Online

Berita Utama

Polis buat laporan terhadap peniaga burger tular kerana memfitnah

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) membuat laporan polis berhubung video dakwaan fitnah dan tohmahan yang ditularkan seorang lelaki semalam.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa’aton Abu Bakar berkata, laporan dibuat seorang pegawai polis susulan video tular pemilik akaun Facebook ‘Asri Janggut’.

“Dalam video berkenaan juga didapati pemilik akaun berkenaan tidak berpuas hati atas tindakan penyitaan ke atas gerai burger milik beliau yang dilakukan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

“Pengadu merasakan video yang tular di media sosial berkenaan boleh menimbulkan fitnah dan merosakkan imej pengadu sebagai Ketua Polis Balai Sungai Buloh, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh, PDRM dan kredibiliti Ketua Polis Selangor,” katanya pada sidang media, di Sungai Buloh, hari ini.

Shafa’aton berkata, susulan maklumat berkenaan sepasukan polis daerah Sungai Buloh membuat enam serbuan di Bandar Baru Sungai Buloh seperti yang ditularkan.

“Dalam serbuan berkenaan polis menahan dua lelaki warga Bangladesh selain merampas empat tablet dan wang tunai RM114.

“Manakala lima lagi serbuan di tempat berlainan mendapati premis berkenaan tidak beroperasi, jelas ia adalah tohmahan,” katanya.

Menurutnya, sebelum video berkenaan ditularkan, polis sudah membuat serbuan di beberapa lokasi yang dikenal pasti menjalankan perniagaan haram ini.

“Apa yang ditularkan itu adalah fitnah sehingga mendatangkan keresahan dalam kalangan masyarakat dan menjatuhkan reputasi PDRM.

“Saya menyeru kepada orang ramai supaya menyalurkan kepada orang ramai maklumat-maklumat melalui saluran yang disediakan,” katanya.

KPN ucap terima kasih

Terdahulu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador mengucapkan terima kasih kepada individu yang mendedahkan kegiatan terbabit dan memberi jaminan akan mengambil tindakan segera bagi membanteras kegiatan itu di kawasan Sungai Buloh.

Abdul Hamid menegaskan, Bukit Aman sudah memulakan tindakan sebaik pendedahan mengenai kegiatan itu dibuat menerusi video oleh seorang peniaga, dipercayai penjual burger di kawasan Sungai Buloh.

“Bagus ada pihak yang berani dan ikhlas mendedahkan situasi sebenar di lapangan dan kita bertindak segera ke atas semua kegiatan yang salah ini,” katanya.

Netizen tidak puas hati dengan penjelasan MBSA

Menerusi laman Facebook MBSA, rata-rata netizen meluahkan rasa tidak puas hati dengan alasan yang diberikan pihak berkuasa tempatan itu.

“Tindakan penyitaan tersebut diambil berikutan peniaga berkenaan meninggalkan peralatan perniagaan setelah selesai melakukan aktiviti perniagaan yang menyebabkan masalah lalulintas selain mengancam keselamatan pengguna jalan raya,” jelas MBSA.

Bagaimanapun, MBSA tidak pula memberikan sebab mengapa premis judi haram serta rokok seludup masih dibiarkan walaupun peniaga burger telah membuat aduan sebelum ini.

Seorang netizen yang dikenali sebagai Baharum Abdullah berkata, MBSA tidak menjawab persoalan yang diutarakan peniaga burger dan hanya mencari salah orang lain.

“Lain yang orang adu, lain yang kau jawab. Amende la. Amanah tu bila nak dijalankan. Ke simpan dalam poket je? Sama Melayu kacau habis, warga asing bermaharajalela,” tulisnya.

Leave a Reply