Berita Utama

Polis cadang adakan inkues semula siasat kematian Adib

KUALA LUMPUR: Polis mencadangkan inkues diadakan semula untuk menyiasat lanjut kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim di bawah Seksyen 339(2) Kanun Prosedur Jenayah, jika dipersetujui peguam negara.

Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainudin berkata, itu antara 2 cadangan dalam kertas siasatan yang diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara pada 23 Julai lalu.

“Pertama, menuduh 12 suspek di bawah Seksyen 143 Kanun Keseksaan yang merusuh dan menyerang jentera bomba.

“Kedua mengadakan inkues semula untuk siasatan lanjut jika dipersetujui peguam negara,” katanya di Dewan Rakyat hari ini ketika menjawab pertanyaan 3 ahli Parlimen mengenai perkembangan kes Adib.

Beliau berkata, kerajaan akan membuat keputusan terbaik supaya tidak timbul persoalan mengenai kes Adib.

“Untuk maklumat, Mahkamah Koroner Shah Alam yang bersidang pada 27 Sept 2019 telah memutuskan punca kematian Adib bukan disebabkan kemalangan, tetapi perbuatan jenayah oleh 2 orang atau lebih suspek.

“Berdasarkan keputusan tersebut, polis telah jalankan siasatan berdasarkan arahan pejabat peguam negara dan mengumpul bukti-bukti yang ada untuk dikemukakan semula kepada pihak pendakwaan.”

Mahkamah Koroner Shah Alam pada 27 Sept 2019 memutuskan kematian Adib berpunca daripada perbuatan jenayah lebih 2 atau 3 individu tidak diketahui.

Adib, 24, anggota bantuan kecemasan Jabatan Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, parah dalam rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 Nov 2018 dan meninggal dunia di Institut Jantung Negara selepas 21 hari menerima rawatan.

Loading...

Leave a Reply