Blog Berita Online

Berita Utama

Polis cari kereta dipandu lawan arus di lorong motosikal

KUALA LUMPUR – Polis sedang mengesan sebuah kereta yang dipandu secara melawan arus di lorong motosikal Lebuhraya Persekutuan berhampiran Angkasapuri di sini, sehingga menyebabkan seorang penunggang motosikal kemalangan, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang, penunggang motosikal berusia 29 tahun itu cedera di lutut selepas motosikalnya merempuh tembok terowong ketika mengelak kereta terbabit yang tiba-tiba keluar dari terowong berkenaan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkifli Yahya, berkata usaha mengesan pemandu dan kereta Toyota Vios berwarna putih dengan nombor pendaftaran QMN 5338 itu sedang dilakukan.

“Motosikal berkenaan dari arah Petaling Jaya menghala ke Putrajaya terlanggar tembok kiri bahu jalan kerana mengelak daripada melanggar sebuah kereta yang dipandu secara melawan arus di laluan motosikal.

“Berdasarkan video yang berjaya dirakam oleh penunggang motosikal terbabit, jelas menunjukkan kereta itu secara tiba-tiba keluar dari terowong secara melawan arus dan ia kemudian meneruskan perjalanan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Zulkifli berkata, polis meminta pemandu atau pemilik kenderaan terbabit menyerah diri di Balai Trafik JSPT Kuala Lumpur untuk membantu siasatan.

Sekiranya ada mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berhubung kenderaan itu, diminta menghubungi Sarjan Samsul Kamal atau Asisten Superintendan Khairul Naim di talian 03 20719999 untuk menyalurkan maklumat.

Semalam, tular di media sosial satu rakaman video yang dikatakan dirakam oleh penunggang motosikal terbabit menggunakan kamera aksi yang dipasang pada helmetnya.

Menerusi video berdurasi 40 saat itu, kelihatan sebuah motosikal diikuti dengan kereta Toyota Vios dipandu secara melawan arus keluar dari terowong di laluan motosikal terbabit.

Rakaman turut menunjukkan bagaimana penunggang motosikal berkenaan yang tidak menyedari kehadiran kereta berkenaan terbabas dan melanggar tembok di tepi kiri terowong ketika mengelak daripada melanggar kenderaan terbabit.

Leave a Reply