Berita Utama

Polis dapat maklumat rakyat negara jiran akan buat kacau hari PRN Sabah

KOTA KINABALU – Polis mendapat maklumat mengenai kemasukan besar-besaran rakyat dari negara jiran untuk membuat kekacauan pada hari pengundian pilihan raya negeri (PRN) Sabah pada 26 Sept ini, kata Pesuruhjaya Polis Sabah Hazani Ghazali.

“Sempena PRN Sabah kita dapat maklumat yang mengatakan akan berlaku kemasukan besar-besaran pendatang dari negara jiran ke Sabah membuat kekacauan.

“Ini kita kena halang supaya pilihan raya berjalan dengan lancar dan tidak mengganggu-gugat serta ketenteraman dan keselamatan kita terjamin,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah di sini hari ini.

Bagaimanapun ketika ditanya pemberita beliau enggan mendedahkan sumber risikan, jumlah yang dijangka terbabit dan jenis kekacauan yang akan ditimbulkan.

“Dari negara jiran, tidak payah spesifiklah,” katanya tanpa mahu mengulas lanjut berkaitan perkara tersebut.

Hazani berkata, polis dengan kerjasama Jabatan Imigresen, tentera dan pihak berkuasa lain akan memperketatkan kawalan di sempadan antaranya dengan menggerakkan aset yang sedia ada ke tahap maksimum.

Beliau berkata, Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) telah mengerakkan aset pada jumlah maksimum dan juga rondaan di setiap sempadan laut serta darat di kawasan pantai timur Sabah.

“Sebanyak 96 pos kawalan di sempadan laut dan darat diletak dalam keadaan bersedia dan aktif melakukan rondaan bagi mengesan ‘lorong tikus’ yang terdapat di sepanjang sempadan negara.

“Kita juga takut mereka akan membawa penyakit Covid-19, penyakit ini merebak dengan cepat, khususnya di kawasan pantai timur Sabah, iaitu Lahad Datu, Tawau, Kunak dan Semporna,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata pengundian awal pada 22 Sept ini akan berjalan seperti biasa dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi mencegah penyakit itu walaupun terdapat peningkatan kes Covid-19 di negeri ini.

Loading...

Leave a Reply