Blog Berita Online

Berita Utama

Polis dedah punca pergaduhan di negeri Serambi Mekah

Polis sedang menjalankan siasatan berhubung kejadian pergaduhan dipercayai bermula daripada kejadian ejek-mengejek dan pertengkaran sebelum membawa kepada aksi menendang kereta di Jalan Pasir Tumboh, Kota Bharu, kira-kira jam 5 petang, semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, ACP Abdul Rahim Daud, berkata laporan mengenai kejadian itu diterima daripada seorang lelaki berusia 30 tahun yang mendakwa menjadi mangsa pukul dalam kejadian tersebut.

“Menurut keterangan lelaki terbabit, semasa dia berjalan berseorangan pulang dari tempat kerjanya di Lundang, datang sebuah kereta Perodua Alza dinaiki seorang lelaki bersama tiga perempuan,” katanya.

Menurut Abdul Rahim, pengadu mengaku mengenai pemandu kereta terbabit.

Katanya kejadian bermula apabila pemandu kereta membunyikan hon dan menghentikan kereta lalu berlaku pertengkaran dan ejek-mengejek di antara kedua belah pihak sebelum kereta tersebut ditendang pengadu.

“Ia membawa kepada pergaduhan yang menyebabkan pengadu dipukul oleh beberapa individu termasuk seorang wanita,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini, hari ini.

Semalam, tular di media sosial satu rakaman video memaparkan seorang lelaki dipukul beramai-ramai selepas berlaku satu pertengkaran mulut dan aksi menendang kereta.

Abdul Rahim berkata, punca sebenar pergaduhan masih dalam siasatan kerana polis masih menunggu pihak yang satu lagi tampil membuat laporan.

Dia juga menjelaskan kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan dan usaha mengesan saksi serta mereka yang terlibat sedang dijalankan.

“Polis meminta sesiapa yang menyaksikan kejadian itu serta yang merakamnya agar hadir ke Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu bagi membantu siasatan.

“Kami juga menasihatkan orang ramai agar tidak mengambil tindakan sendiri dalam sesuatu perkara seperti dalam kes ini kerana ia salah dari segi undang-undang,” jelasnya lagi.

Leave a Reply