Blog Berita Online

Berita Utama

Polis jaga sekatan jalan jangan goyang kaki – KPN

KUALA LUMPUR: Semua Ketua Polis Negeri diarahkan memantau penugasan anggota dan pegawai di Sekatan Jalan Raya (SJR) di seluruh negara terutama membabitkan sempadan di setiap negeri bagi mengelakkan cubaan rentas negeri sesuka hati.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, tindakan tegas boleh diambil kepada Ketua Polis Negeri yang gagal mengawal anggota masing-masing yang bertugas secara ala kadar di SRJ.

Menurut beliau, arahan tersebut terpakai di semua kontinjen termasuk Sabah dan Sarawak bagi mengetatkan kawalan di setiap SJR.

Meskipun lima hari kebelakangan ini statistik kes jangkitan Covid-19 harian menurun itu menunjukkan satu petanda baik tetapi SJR tetap diteruskan bagi mengelakkan cubaan rentas negeri di negeri yang belum dibenarkan.

Kata beliau, kawalan SJR termasuk di Lebuh Raya Utara-Selatan dan Timur Barat masih dilaksanakan semaksimum mungkin.

“Justeru pemeriksaan kena dilakukan dengan teliti dan tegas bagi mengelak percubaan rentas negeri ikut mana-mana laluan termasuk lorong tikus,” kata beliau pada sidang akhbar di Bukit Aman di sini hari ini.

Dalam pada itu, Abdul Hamid tidak menafikan dengan dakwaan terdapat sebilangan anggota di lapangan (SJR) duduk di dalam khemah dan membiarkan kenderaan lalu begitu sahaja.

“Saya sama sekali tidak segan dan malu untuk mendedahkan kelemahan ini walaupun sangat menghargai khidmat gigih sebahagian besar petugas Polis Diraja Malaysia (PDRM) di lapangan dengan bantuan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Angkatan Pertahanan Awam.

“Cuma saya kesal segelintir kelompok mengambil ringan tanggungjawab di lapangan. Saya tak mahu PDRM dipersalahkan dan tak sanggup lihat sekali lagi wujud kluster rentas negeri seperti sebelum ini,” jelasnya.

Dalam pada itu, tegas Abdul Hamid, beliau akan memastikan pegawai setiap negeri dan juga dari Bukit Aman turun pantau operasi SJR agar kawalan dipertingkatkan bagi mengelakkan berlaku rentas daerah dan negeri sewenang-wenangnya.

“Saya tidak menolak kemungkinan ada sebahagian rakyat akan curi-curi balik ke negeri-negeri seperti ke Pantai Timur, Perak dan Pulau Pinang.

“Jadi, saya minta arahan dikeluarkan kepada setiap petugas di SJR termasuk di Lebuh Raya Utara Selatan dan Timur Barat bahawa mereka tiada ruang rehat ketika bertugas di SJR.

“Waktu rehat sembahyang diizinkan secara bergilir dan boleh rehat seketika. Bagi waktu puncak, sepuluh orang petugas perlu berada di SJR supaya dapat mempercepatkan laluan kenderaan.

“Begitu juga, di luar waktu puncak, tiga petugas boleh mengawal dan tiga lagi bolehlah berehat tapi bukan sampai goyang kaki atau lambai tangan setiap masa,” tegasnya.

Dalam perkembangan berasingan, kata Abdul Hamid kompaun sehingga RM10,000 akan dikenakan kepada mana-mana individu yang melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) yang berkuat kuasa semalam.

Notis itu akan dikeluarkan membabitkan semua kesalahan yang termaktub di bawah Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021.

Kesalahan-kesalahan itu khususnya membabitkan tidak memakai pelitup muka, tiada penjarakan fizikal dan rentas negeri tanpa kebenaran.

Kompaun RM10,000 akan dikeluarkan bagi kesalahan berulang.

“Pindaan itu diwartakan bermula 12.01 tengah malam semalam dan arahan dikeluarkan di semua polis kontinjen untuk mengeluarkan notis RM10,000 terhadap individu melanggar SOP.

“Mana-mana individu yang menerima notis tersebut akan diberi masa dua minggu untuk selesaikan namun jika gagal membayar, individu itu akan dibawa ke mahkamah untuk didakwa atau dibicarakan.

“Pihak polis hanya mengeluarkan kompaun sebanyak RM10,000 namun kadar sebenar kompaun bergantung kepada budi bicara pegawai yang diberi kuasa iaitu Pegawai Kesihatan Daerah (PKD),” katanya. – UTUSAN

Leave a Reply