Berita Utama

Polis kesan dua individu dipercayai conteng mural pemimpin negara

SHAH ALAM — Polis sedang mengenal pasti dua individu dipercayai wanita yang terbabit dalam perbuatan vandalisme dengan menconteng perkataan kurang menyenangkan pada mural gergasi potret beberapa pemimpin negara di Taman Cahaya Alam Seksyen U12 di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Baharudin Mat Taib berkata, dua individu itu dikesan berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang pada bangunan kedai berdekatan lokasi kejadian.

“Kami sedang mengesan mereka… Beri masa kepada polis untuk menyiasat perkara ini dan diharap mana-mana pihak tidak sewenang-wenangnya mengeluarkan kenyataan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, siasatan berkaitan kes tersebut dijalankan mengikut Seksyen 504/427 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.

Kejadian vandalisme ke atas mural gergasi potret beberapa pemimpin negara tersebut disedari seorang pekerja restoran yang kebetulan lalu di kawasan itu kira-kira 8 pagi tadi.

Mural gergasi itu yang dilukis pada dinding sebuah bangunan kedai memaparkan potret Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang diconteng dengan perkataan kurang menyenangkan menggunakan cat merah.

Mural itu adalah hasil karya tiga anak muda iaitu Muhammad Suhaimi Ali, 27, Muhamad Firdaus Nordin, 26, dan Abdul Hadi Ramli, 27 tahun.

Loading...

Leave a Reply

error: Content is protected !!