LABUAN – Polis Labuan telah membuka kertas siasatan berkaitan tiga laporan polis berhubung hantaran melalui aplikasi Facebook membantah laungan azan di Masjid Sultan Muhammad V.
Pemangku Ketua Polis Labuan, Deputi Superintendan Mohd Ibrahim Mohd Ghani berkata, siasatan telah dimulakan dari pelbagai sudut bagi menyelesaikan isu sensitif berkenaan.
“Kita mengambil berat kepada laporan yang dibuat berkaitan hantaran di platform sosial media itu yang menyentuh sensitiviti umat Islam.
“Difahamkan, akaun Facebook itu adalah palsu, namun usaha sudah dimulakan mendapatkan butiran pemilik akaun itu melalui bantuan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia (SKMM),” katanya hari ini.
UMNO Bahagian Labuan telah membuat laporan polis pada Sabtu terhadap pemilik akaun Facebook Jason Ho yang memuat naik hantaran membantah laungan azan menggunakan pembesar suara, serta ugutan yang berbau perkauman.
Laporan polis terhadap hantaran yang boleh menjejaskan keharmonian kepelbagaian kaum dan agama itu, dibuat Setiausaha Umno Bahagian Labuan Dzulfaizal Ab. Manan di balai polis Labuan.
Turut membuat laporan polis pada hari yang sama ialah, Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Labuan yang diketuai Ketuanya Musa Basman.
Menurut Dzulfaizal dan Musa, laporan itu dibuat sebagai tanda sokongan kepada Jawatankuasa Masjid Sultan Muhammad V (yang membuat laporan pada 26 Februari) mahukan pemilik Facebook berkenaan disiasat.
“Individu itu telah memuat naik hantaran di halaman Facebook Masjid Sultan Muhammad V yang mendakwa laungan azan solat lima waktu telah mengganggu ketenteraman.
“Apa yang dinyatakan individu berkenaan adalah sesuatu yang tidak wajar kerana selama ini di Labuan tidak pernah wujud masalah bantahan berkaitan laungan azan” kata Dzulfaizal.
Lebih mengejutkan lagi katanya, mesej dari individu berkenaan juga mengandungi unsur ugutan dan berbaur penghinaan terhadap agama Islam, dengan tuduhan yang melampau.
“Individu itu telah mendakwa bahawa ‘Islam is fake’, penganas dan sebagainya. Kenapa perlu dikatakan agama kami membawa kebencian dan keganasan?,” katanya.
Dzulfaizal yang juga Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk Labuan, menyifatkan individu terbabit sebagai tidak menghormati agama Islam, yang merupakan agama rasmi Persekutuan yang jelas termaktub dalam perlembagaan, sambil meminta agar perkara ini dapat disiasat dengan segera.
“Sekiranya pemilik akaun Facebook itu adalah samaran, kami berharap agensi yang berkaitan khususnya SKMM, dapat bertindak dan mengesan individu tersebut untuk tindakan selanjutnya,” katanya. – Bernama
Leave a Reply