KUALA LUMPUR: Tidak dapat dinafikan, kredibiliti polis kian dipersoalkan saban hari. Gejala rasuah bukan sahaja sudah membarah dalam kalangan rakyat, tetapi anggota badan itu juga terlibat sama. Dan ini bukan perkara baharu.
Cuma lewat ini ia terlihat kepada khalayak apabila ada sahaja tangkapan yang mendedahkan penglibatan polis dalam kegiatan jenayah.
Ketika rakyat secara amnya melihat ini sebagai satu perkembangan positif dalam era baharu bawah kepimpinan Tan Sri Abdul Hamid Bador, tidak kurang juga yang tidak senang dengannya.
Namun, Abdul Hamid tidak keseorangan. Ketegasan dan keberaniannya ‘membuka pekung di dada sendiri’ dibelakangi oleh pegawai-pegawai dan anggota yang tetap setia berkhidmat atas nama kebenaran, antaranya Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay.
“Kita nampak ramai orang kritik Tan Sri Abdul Hamid, tetapi kalau dilihat beliau dari dulu hingga sekarang, bagaimana dia membawa isu 1MDB sehinggalah beliau dikeluarkan, dan dia masuk balik.
“Lebih baik dia pergi berkebun dan sebagainya, tetapi dia masuk balik (polis). Dari segi integriti dan keikhlasan, Tan Sri Abdul Hamid tiada siapa boleh pertikaikan,” tegas Ayob.
Ketegasan Ketua Polis Johor yang baru dilantik itu memang cukup disegani, lama mengemudi cawangan anti-keganasan yang membentuknya menjadi keras dan sukar digugat pegangannya dalam menjalankan tugas.
Dalam hal itu, beliau melihat visi dan misi yang digalasnya seiring dengan apa yang dibawa oleh Ketua Polis Negara itu. Dan dia bertekad untuk meneruskan hasrat murni bersama itu dalam memimpin kontinjen di selatan tanah air.
“Itu (sebenarnya) bukan visi saya dan Tan Sri Abdul Hamid. Ini visi kerajaan, ini visi Kementerian Dalam Negeri, ini visi Perdana Menteri, ini visi negara.
“Kita kena betulkan, kena mula buat tindakan tegas untuk pastikan yang tiada integriti, terlibat dengan rasuah perlu diambil tindakan tegas tidak kira apa pangkat mereka,” ujarnya.
Beliau mengakui ramai yang tidak senang dengan mengatakan masalah dalaman polis perlu diselesaikan secara sulit dan tidak perlu didedah kepada khalayak umum. Namun kata Ayob, itulah yang membuatkan masalah itu tidak selesai sampai hari ini.
“Rakyat tidak bodoh, semua orang sudah tahu. Tetapi sampai bila ia mahu dibiarkan begitu? Apabila sampai hari di mana polis tidak lagi boleh dipercayai, kepada siapa rakyat mahu berharap untuk memastikan negara ini kekal berada dalam aturannya?” tanya Ayon Khan.
Maka kata Ayob polis tidak boleh lagi terus beretorik dengan kata-kata memperjuangkan bangsa, agama dan negara sedangkan masih dipalit masalah integriti. Dalam mengembalikan kredibiliti polis, seluruh anggota badan itu perlu berani berdepan ‘syaitan’ dalam diri mereka untuk dihapuskan.
“Yang paling saya pegang, kita ini sebagai orang Islam, berapa lama sahaja kita akan hidup? Kita akan mati, mungkin hari ini, mungkin esok, atau mungkin sebentar lagi.
“Duit banyak-banyak tu nak ke mana? Takkan nak ambil duit berjuta-juta itu buat lapik jenazah kita masuk dalam kubur? Ataupun nak rasuahkan malaikat Munkar dan Nakir? Tidak…,” ujarnya.
Maka isu rasuah dan integriti ini perlu ditangani dengan konsistensi dan ketegasan. Beliau tidak mahu lagi orang mencebik muka apabila bercakap tentang polis, dan beliau yakin martabat polis akan kembali diangkat bawah kepimpinan Abdul Hamid.
“Insyallah. Tan Sri IGP sudah letakkannya pada landasan, kita cuma nak pastikan kita tak tergelincir saja,” katanya.
Leave a Reply