Blog Berita Online

Berita Utama

Polis siasat guru bertindak kasar pada kanak-kanak tadika

SHAH ALAM – Warga maya terkejut susulan tular video seorang kanak-kanak TADIKA dipercayai dilayan dengan kasar oleh seorang guru di sebuah TADIKA di Jalan Kebun, di sini, hari ini.

Berdasarkan video tular berdurasi 10 saat, seorang wanita dipercayai memarahi dan bertindak kasar terhadap kanak-kanak itu sambil diperhatikan oleh kanak-kanak lain di dalam kelas.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharuddin Mat Taib mengesahkan kejadian dan ada menerima laporan mengenainya, petang tadi.

“Saya mengesahkan laporan polis dibuat oleh ibu kanak-kanak ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 31 (1) Akta Kanak-Kanak,” katanya.

Beliau juga mengesahkan guru terbabit sudah dikenal pasti dan dipanggil untuk memberi keterangan.

Ditanya sama ada guru terbabit ditahan atau sebaliknya, beliau berkata, siasatan lanjut masih berjalan dan sedang dalam tindakan Jabatan Siasatan Jenayah,” katanya.

Katanya, individu yang merakam video terbabit juga sedang dalam siasatan.

Menurut pemilik akaun Facebook yang dikenali sebagai Sheikh Al Fariq, yang mendakwa mempunyai anak yang belajar di sekolah terbabit, guru itu sudah diarahkan berhenti serta-merta.

“Baru lepas jumpa dan dapat penjelasan daripada pengetua sekolah. Menurutnya cikgu itu akan diambil tindakan sewajarnya dan akan diberhenti bekerja serta-merta. Laporan polis sudah dibuat.

“Nak jumpa cikgu terbabit tetapi sudah tiada dan tidak dibenarkan mengajar serta-merta. Kejadian berlaku semalam.

“Saya lihat pihak sekolah terutama pengetua sekolah amat ambil serius tentang perkara ini kerana cikgu itu bukan mengajar tetap, hanya cikgu praktikal,” katanya.

Menurut hantaran di Facebook itu, pengetua sentiasa mengingatkan guru tetap mahupun guru praktikal supaya mengawal emosi semasa mengajar dan jangan mengambil tindakan melulu terhadap pelajar.

Katanya, dia dimaklumkan tujuan rakaman dibuat untuk dihantar kepada pihak universiti.

“Video itu tersebar kerana tunang kepada guru yang merakam video itu ternampak kejadian terbabit,” katanya.

Leave a Reply