Berita Utama

Punca sebenar Sugu Pavithra padam semua video masakan di Youtube

SELEPAS menimbulkan tanda tanya ramai, duo YouTuber masakan popular, M Sugu dan S Pavithra memberitahu mereka enggan lagi mempunyai sebarang kaitan dengan Youtube sebaliknya hanya mahu menjalani kehidupan biasa seperti sebelum ini.

Memetik laporan Sinar Harian, Sugu berkata mereka mengambil keputusan untuk tidak lagi terlibat dengan sebarang perkara yang boleh meraih perhatian umum.

Ini sekaligus menjawab teka teki ramai selepas kesemua video masakan yang dihasilkan pasangan suami isteri itu di saluran YouTube ‘Sugu Pavithra’ telah dipadam pada Sabtu.

“Kami buat itu (padam video) kerana tak nak sebarang kaitan dengan YouTube itu lagi. Biar kami satu keluarga biasa sahaja.

“Ramai YouTuber masakan dan yang hebat-hebat dan bagus ada tetapi kenapa kami jadi tumpuan. Biar kami beri perhatian pada keluarga,” katanya ringkas ketika dihubungi portal berkenaan.

Lelaki berusia 29 tahun itu juga berkata dia dan isterinya masih belum memikirkan mengenai perancangan masa hadapan.

Sementara itu, Ibu Sugu, G Rajeswari, ketika ditemui mengharapkan hubungan anak dan menantunya itu dalam keadaan baik setelah mengharungi pelbagai kejadian sejak beberapa hari lalu.

“Saya ada mengikuti perkembangan mereka di televisyen dan saya harap mereka dapat mengharungi cabaran itu bersama-sama.

“Sebagai ibu, semestinya saya berasa bimbang dengan keadaan mereka,” katanya ketika ditemui di Ladang Elphil, Sungai Siput, Perak.

mStar pada Sabtu melaporkan kesemua 98 video di saluran YouTube ‘Sugu Pavithra’ telah dipadam.

Sebelum ini pasangan itu memuat naik video pelbagai resepi masakan termasuk aktiviti keluarga mereka seperti percutian dan perpindahan ke kediaman baharu.

Perkembangan itu sekaligus menimbulkan tanda tanya ramai malah ada yang membuat andaian masing-masing, tambahan pula selepas kontroversi yang berlaku baru-baru ini.

Untuk rekod, mereka yang mula dikenali dan mencuri tumpuan ramai sewaktu kerajaan melaksanakan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mempunyai seramai 785,000 pengikut di saluran tersebut.

Suami Youtuber terkenal ditahan polis kerana dera isteri

Suami kepada Youtuber yang terkenal dengan program masakan, dikenakan perintah reman selama tiga hari mulai hari ini oleh Mahkamah Majistret Ipoh, kerana disyaki mendera isterinya.

Perintah reman terhadap lelaki berusia 29 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret, Nabihah Mohd Noor.

Lelaki yang memakai pakaian berwarna ungu dan digari itu, dibawa dengan van polis ke Mahkamah Majistret, kira-kira jam 10 pagi ini.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz, ketika dihubungi mengesahkan tangkapan lelaki terbabit.

“Polis masih menyiasat kejadian ini yang kita percaya berlaku kerana masalah dalaman keluarga,” katanya.

Pasangan terbabit yang sebelum ini tinggal di kawasan estet, berpindah keluar mendiami sebuah kawasan perumahan di sini selepas suami Youtuber itu berhenti kerja demi membantu isterinya secara sepenuh masa mengendalikan program masakan.

Tak sebut nama suami ketika anugerah jadi punca Youtuber didera

Berang namanya tidak disebut isteri ketika menerima anugerah penghargaan baru-baru ini, disyaki menjadi punca suami kepada youtuber masakan terkenal tergamak mendera isterinya.

Sumber berkata, kejadian itu dikatakan menjadi antara punca pasangan terbabit bertengkar ketika mereka berada di parkir Hospital Raja Permaisuri Bainun Hospital (HRPB) Ipoh, baru-baru ini.

Pergaduhan itu berlarutan sehingga keesokkan hari (semalam) di mana lelaki itu pergi ke hospital berkenaan untuk mencari adik isterinya.

“Ketika kejadian suspek dipercayai mabuk. Bagaimanapun tidak dapat bertemu dengan adik isterinya. Ia menyebabkan lelaki itu dipercayai memukul isterinya.

“Pada 5.54 petang hari sama, pengawal keselamatan menerima laporan daripada seorang jururawat yang mendakwa terlihat seorang lelaki mabuk dengan memegang sabit hendak memasuki salah satu wad hospital berkenaan,” katanya.

Sumber sama berkata, suspek dipercayai mencari abang ipar isterinya susulan masalah keluarga.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A. Asmadi Abdul Aziz mengesahkan tangkapan lelaki berkenaan yang kini dalam tahanan reman.

“Kita masih menjalankan siasatan lanjut dan kami percaya kes ini berhubung masalah keluarga,” katanya.

Loading...

Leave a Reply