Berita Utama

Rakyat Malaysia desak kerajaan batal atau tangguh ABPBH ke-33

Semakin ramai yang mempertikai kewajaran kerajaan membenarkan penganjuran Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) ke-33 dalam keadaan negara masih ‘berperang’ dengan pandemik Covid-19.

Dalam keadaan masjid dan surau masih ditutup serta pergerakan dihadkan ekoran penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) hampir di seluruh negara, Berita Harian dan kerajaan sendiri seolah-olah meremehkan perkara itu dengan meneruskan program berunsur hiburan tersebut.

Kenapa perlu mengambil risiko jika ia boleh dielak? Adakah sesetengah pihak sengaja menutup mata dan mahu melihat peningkatan kes Covid-19?

Jangan gunakan alasan rugi kerana industri lain juga berdepan masalah yang sama malah jauh lebih besar berbanding pihak penganjur.

Kenapa Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak mendesak ia dibatalkan?

Selain NGO-NGO Islam, kenapa tiada mana-mana pemimpin atau Ahli Parlimen membantah malam anugerah bagi merayakan kemenangan ‘pilihan raya’ artis tersebut jika masing-masing ada ‘hati perut’ dan sedikit ‘common sense‘?

“Mana sikap hati perut dan perikemanusiaan artis Malaysia sebenarnya?.

“Sila batalkan ABPBH jika anda ada hati perut, kasihankan semua barisan hadapan yang bertungkus-lumus menjaga keselamatan kesihatan kita semua,” sindir Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Amal Sejagat Malaysia, Mohd Nor Izzat Johari.

“Jika Olimpik 2020, sukan berprestij dunia dan SUKMA, sukan terbesar Malaysia pun boleh tangguh seketika, malah SPM, STPM dan solat Jumaat pun ditangguh, apalah sangat tangguh acara ini.

“Berikanlah sedikit penghormatan kepada semua ahli keluarga yang telah kehilangan ahli keluarga yang meninggal dunia kerana wabak Covid-19,” tambahnya.

Tidak adakah Menteri atau pemimpin dalam kerajaan yang peka dan cakna dengan betapa serius dan tidak cerdiknya penganjuran ini? Bukankah sudah ada contoh bagaimana gelombang ketiga Covid-19 memuncak sebaik sahaja Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah selesai?

Menteri Agama Datuk Seri Zulkifli Al-Bakri juga didapati positif virus tersebut sebaik sahaja pulang dari Sabah.

Setidak-tidaknya tidak bolehkah beliau bersama menteri-menteri lain mendesak program ini dibatalkan?

Jika ada Ahli Parlimen yang tidak bersetuju dan malah menyindir cadangan moratorium dan pengeluaran wang KWSP bagi meringankan beban rakyat, maka kali ini tidak bolehkah beliau turut membantah anugerah ini bagi membawa rintihan rakyat?

Rakyat bukan membenci para artis dan mereka yang terlibat dalam dunia hiburan, tetapi masa penganjuran program tersebut tidak sesuai ketika PKPB dilaksanakan di seluruh negara.

Justeru, kerajaan wajar batal atau tangguhkan ABPBH sehingga keadaan Covid-19 kembali reda, sesudah itu bukan sahaja anugerah artis malah Pilihan Raya Umum (PRU) pun boleh diadakan jika kerajaan mahu.

Loading...

Leave a Reply

error: Content is protected !!