Berita Utama

Rakyat Malaysia pulang dari luar negara dibenar kuarantin di rumah

RAKYAT Malaysia yang pulang dari luar negara tidak perlu lagi menjalani kuarantin wajib di pusat kuarantin sebaliknya boleh berbuat demikian di rumah masing-masing bermula 10 Jun ini.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata sejurus tiba di lapangan terbang, mereka akan menjalani ujian swab dan mereka yang negatif boleh pulang ke kediaman sendiri.

Bagaimanapun katanya mereka yang positif wabak Covid-19 itu perlu menjalani rawatan di hospital.

“Mereka wajib muat turun aplikasi MySejahtera dan wajib pakai gelang tangan kuarantin bagi memudahkan proses identifikasi. Jadi walaupun dibenarkan pulang tetapi mereka akan dipantau melalui MySejahtera.

“Mereka juga tidak boleh keluar kerana dengan memakai gelang tangan itu, mereka akan mudah dikenalpasti. Mereka wajib menjalani kuarantin 14 hari. Kerajaan akan mewartakan di dalam Akta 342 dan mereka yang ingkar peraturan ini akan dikompaun RM1,000 atau dihadapkan ke mahkamah dan boleh didenda serta dipenjara,” katanya dalam sidang harian di Putrajaya hari ini.

Menurutnya, kerajaan mengambil keputusan ini selepas mengambil kira kadar jangkitan Covid-19 di negara lain yang sudah terkawal dengan lengkung jangkitan juga sudah melandai dan menurun.

“Kita menukar polisi kuarantin wajib untuk rakyat Malaysia pulang dari luar negara berikutan data daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menunjukkan hanya satu peratus kes import dikesan positif Covid-19.

“Kerajaan juga berjaya meningkatkan keupayaan untuk membuat ujian saringan Covid-19 di pintu-pintu masuk antarabangsa.

“Kepatuhan kuarantin wajib 14 hari di kediaman masing-masing juga dapat dipantau oleh pihak berkuasa melalui aplikasi MySejahtera,” katanya.

Tambah beliau, KKM memberi jaminan keputusan ujian saringan Covid-19 menggunakan Rapid Test Kit Antigen akan diperoleh secepat mungkin dan tidak perlu menunggu dalam tempoh lama.

“Bagaimanapun, jika ada kes mereka perlu menunggu keputusan ujian saringan dalam tempoh sehari dua, mereka ini akan dihantar ke pusat kuarantin atau hotel sehingga keputusan diperoleh.

“Mereka tidak akan dilepaskan untuk pulang sehingga keputusan diperoleh menunjukkan positif atau negatif,” katanya.

Terdahulu, Ismail Sabri berkata, sehingga 8 pagi hari ini, sebanyak 156 pusat kuarantin beroperasi berbanding 165 pada hari sebelumnya, yang mana 14,665 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib.

“Semalam seramai 37 rakyat Malaysia pulang ke tanah air dan dikuarantin wajib. Seramai 50,873 rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara dikuarantin wajib sejak 3 April 2020. Sehingga hari ini, seramai 40,805 individu sudah selesai menjalani tempoh kuarantin wajib dan dibenarkan pulang.

Loading...

Leave a Reply