Penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT), Muhammad Syafiq Ahmad gagal menahan sebak sebaik sahaja mencium jenazah anaknya, Muhammad Aisy Saqeef buat kali yang terakhir.
Muhammad Syafiq memeluk lalu mencium jenazah anaknya yang berusia 22 hari itu berulang-ulang kali sehingga menimbulkan suasana pilu di kalangan ahli keluarga yang hadir di perkarangan Unit Forensik Hospital Sungai Bakap (HSB), hari ini.
Menurut adik Muhammad Syafiq iaitu Muhammad Zulfadhli, 24, abangnya mengalirkan air mata apabila didekati rakan dan saudara mara, malah enggan bercakap dengan sesiapa berikutan terkejut dengan insiden itu.
“Abang terlalu sedih dengan pemergian bayi lelaki dan ibu mentuanya sehinggakan dia banyak berdiam diri kerana terlalu terkejut.
“Ramai yang menghubunginya, namun dia tidak mampu menjawab segala pertanyaan buat masa ini,” katanya.
Dalam kejadian kira-kira 4 pagi tadi, kenderaan dinaiki Muhammad Syafiq, 25, bersama lima yang lain terbabit dalam kemalangan di Kilometer 163 Lebuhraya Utara-Selatan dekat Plaza Tol Jawi, di sini.
Kemalangan berlaku ketika kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyata Vellfire dipandu Muhammad Syafiq dalam perjalanan membawa isterinya, Nur Amalina Norain, 25 yang sedang pantang ke kampung mentuanya di Pendang, Kedah.
Turut berada dalam kenderaan terbabit adalah ibu mentuanya, Zainab Wahab, 45, dua anaknya Muhammad Aisy Saqeef dan Aaira Nur Saffiyya, 2, serta pembantu rumah warga Indonesia, Titik Sukamti, 30-an.
Kemalangan itu mengorbankan Zainab, Muhammad Aisy Saqeef dan pembantu rumah manakala Muhammad Syafiq, isteri dan anak sulungnya cedera ringan.
Difahamkan, Muhammad Syafiq kebiasaannya akan pulang menaiki kapal terbang, namun dia memilih untuk memandu kenderaan sebelum kejadian berlaku.
Leave a Reply