GUA MUSANG – Seorang remaja warga Thailand maut selepas tercampak daripada motosikal yang ditunggangnya selepas bertembung kereta dalam kemalangan dekat Kampung Jerek, Bertam di sini pagi tadi.
Dalam kejadian jam 11.20 pagi itu, penunggang motosikal jenis Y15, Afnan Baha, 18, maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.
Manakala pemandu kereta jenis Honda Jazz yang berusia 72 tahun hanya mengalami cedera ringan.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo, berkata kemalangan berlaku apabila motosikal yang ditunggang mangsa dipercayai hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan.
“Kemalangan berlaku dipercayai berpunca daripada penunggang motosikal yang gagal mengawal kenderaan dan masuk ke laluan bertentangan.
“Disebabkan jarak yang terlalu dekat, pemandu kereta tidak sempat mengelak. Akibat pelanggaran itu, penunggang motosikal tercampak ke atas cermin hadapan kereta sebelum melambung ke atas jalan raya.
“Mangsa maut di tempat kejadian kerana kecederaan parah di kepala,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Gua Musang untuk dibedah siasat.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ)1987 kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian. Siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya.
Leave a Reply