Berita Utama

Remaja perempuan direman, tipu positif Covid-19 sebab tak mahu masuk kerja

JOHOR BAHRU: Seorang remaja perempuan berusia 19 tahun ditahan reman tiga hari mulai hari ini bagi membantu siasatan kes memalsukan laporan ujian saringan COVID-19.

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Majistret Nur Izzaty Muhammad Zahari di Mahkamah Majistret Johor Bahru di sini, hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420/468 Kanun Keseksaan.

Semalam, polis menahan remaja itu di sebuah kediaman di Taman Mutiara Rini, di sini, bagi membantu siasatan berhubung kes memalsukan laporan keputusan ujian calitan COVID-19.

Remaja itu ditahan 1 tengah hari susulan laporan polis yang diterima daripada pemilik sebuah restoran di Skudai, kelmarin.

Pengadu menerima mesej menerusi aplikasi WhatsApp daripada pekerjanya yang menghantar sekeping gambar surat mendakwa positif COVID-19.

Tindakan suspek mengakibatkan majikan lelaki berusia 32 tahun itu menghentikan sementara operasi restoran dan ke klinik bersama 12 pekerjanya untuk membuat saringan.

Keputusan mendapati kesemua pekerja termasuk majikan negatif COVID-19.

Suspek kemudian mengaku menipu majikannya atas alasan tidak mahu datang bekerja kerana berasakan tidak sesuai bekerja sebagai pelayan restoran.

Suspek baharu sehari diterima bekerja di restoran terbabit.

Loading...

Leave a Reply

error: Content is protected !!