Blog Berita Online

Berita Utama

Remaja perempuan maut bertembung motosikal lawan arus

SUNGAI PETANI – Seorang remaja perempuan maut selepas motosikal ditunggangnya bertembung dengan sebuah motosikal lain ditunggang secara melawan arus di Jalan Lencongan Barat di sini tengah malam semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12.10 tengah malam itu, mangsa berusia 19 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, siasatan awal di tempat kejadian mendapati kemalangan melibatkan tiga motosikal.

Katanya, mangsa yang menunggang motosikal jenis Benelli itu dalam perjalanan dari Sungai Jagung menghala ke Sungai Layar.

“Pada masa sama, seorang lelaki berusia 52 tahun menunggang motosikal jenis Modenas Kriss secara melawan arus.

“Sebaik tiba di tempat kejadian, kedua-dua motosikal tersebut bertembung menyebabkan mangsa maut di tempat kejadian, manakala penunggang yang melawan arus mengalami cedera di tangan,” katanya di sini hari ini.

Kata beliau, seorang lagi mangsa iaitu wanita berusia 20 tahun yang menunggang motosikal Honda Vario terjatuh di lorong kiri ketika cuba mengelak dua motosikal berkenaan.

“Mangsa mengalami kecederaan pada muka dan dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini untuk rawatan,” ujarnya.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE

Leave a Reply