Berita Utama

Rezeki perabot terpakai, siswi jana pendapatan RM100,000 sebulan

SUNGAI PETANI – Hanya dengan menjual perabot terpakai seorang usahawan muda dari Merbok, Kedah iaitu Arliya Munif mampu mencipta jualan mencecah RM100,000 sebulan.

Perniagaan yang diusahakan sejak 2017 menggunakan nama Perabot Berkualiti Kedah itu kini menjadi perhatian penduduk setempat kerana menawarkan perabot terpakai pada harga mampu milik.

Remaja berusia 21 tahun itu berkata, beliau menceburkan diri dalam perniagaan berkenaan selepas melihat perabot lama yang masih elok dibuang oleh pemiliknya disebabkan oleh kerosakan kecil.

“Idea menjual perabot terpakai bermula apabila melihat perabot lama yang masih elok dibuang sehingga mengakibatkan pencemaran.

“Kadang-kadang perabot dibuang ini masih elok. Hanya perlu baiki sedikit sahaja dan ia nampak baharu semula malah ada yang kelihatan mewah,” katanya kepada Sinar Harian.

Di samping itu, pemilik kedai Perabot Terpakai Berkualiti Kedah itu berkata, beliau juga menjual perabot terpakai kerana memberi peluang kepada golongan B40 melengkapi keperluan rumah mereka.

“Melalui perniagaan ini saya dapat jual perabot pada harga berpatutan dengan kualiti yang memuaskan hati.

“Lagipun kalau nak beli perabot baharu harganya mahal dan ramai orang tidak mampu,” katanya.

Bermodalkan RM1,500, Arliya yang juga penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam, Shah Alam, Selangor dalam jurusan Pentadbiran Perniagaan Keusahawanan memulakan perniagaan dengan membuka kedai di Jeniang, Kedah.

Beliau yang pada ketika itu sedang mengikuti pengajian diploma tidak menyangka bisnes diusahakan itu mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat setempat.

Antara perabot yang dijual di kedai berkenaan ialah meja makan dan almari.

Setahun selepas itu, beliau membuka pula cawangan kedua perniagaannya di Taman Lembah Bujang Saujana, Merbok.

Arliya berkata, pembukaan kedai tersebut didorong oleh jualan yang tinggi selepas beliau memasarkan perabot terpakai yang diambil dari Singapura.

Jaminan kualiti

“Selepas enam bulan beroperasi, kami mula mendapat permintaan agar menyediakan perabot dari negara tersebut kerana jaminan kualitinya.

“Di samping itu, keunikan rekaan dan cara pembuatannya menyebabkan perabot dari Singapura mendapat permintaan yang tinggi dalam kalangan pelanggan,” katanya.

Seiring dengan perkembangan perniagaan yang diusahakan itu, Arliya telah mempelbagaikan produk terpakai dijualnya seperti sofa, permaidani, tilam, peti ais dan televisyen.

Malah, katanya, beliau juga terpaksa menutup kedainya di Jeniang kerana mahu fokus kepada perniagaan di Merbok.

“Kedai di Merbok telah dibesarkan bagi menampung jumlah perabot terpakai yang meningkat berkali ganda hasil permintaan tinggi daripada pelanggan,” katanya.

Justeru, Arliya berkata, beliau menyasarkan jualan tahunan mencecah RM1juta pada tahun ini.

Katanya, beliau yakin mampu mencapai sasaran berkenaan selepas mempelbagaikan perniagaannya menggunakan platform dalam talian.

Jelasnya, kaedah berkenaan digunakan ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu.

“Kita telah mengambil pendekatan mempromosikan barangan melalui dalam talian sepanjang PKP.

“Tidak sangka pula pelanggan membeli seperti biasa kerana ramai yang memanfaatkan tempoh berkurung di rumah itu untuk menghias kediaman masing-masing,” katanya.

Loading...

Leave a Reply