Berita Utama

Sabah buat keputusan sendiri benarkan pekerja China masuk

CYBERJAYA – Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan Persekutuan tidak pernah dimaklumkan oleh Sabah untuk membenarkan pekerja dari China masuk ke negeri tersebut ketika pintu masuk ke negara ini masih ditutup kepada warga asing.

Ismail Sabri berkata, beliau percaya tindakan itu diambil sendiri oleh kerajaan negeri tersebut.

“Apa dilakukan oleh (kerajaan) Sabah, saya percaya dilakukan sendiri dan tidak pernah dibincangkan dengan kerajaan Persekutuan,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal dalam satu kenyataan semalam memberikan kebenaran kepada warganegara luar termasuk dari China untuk memasuki Sabah tanpa menjalani ujian calitan (swab test) Covid-19.

Mereka hanya perlu mengisi Borang Pengisytiharan Kesihatan dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS).

Bagaimanapun, langkah tersebut mendapat bantahan daripada pelbagai pihak yang bimbang sekiranya negeri tersebut menerima ancaman gelombang kedua Covid-19 berikutan keputusan tersebut.

Sementara itu, Ismail Sabri menegaskan pada masa kini kerajaan masih menutup pintu negara kepada pekerja warga asing, kecuali ekspatriat kategori EP1 (pengurusan tertinggi) yang tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

“China sebuah negara yang besar dan masih dianggap sebagai kawasan berisiko tinggi dan mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) masih berbincang mengenal pasti kawasan merah dan hijau di negara itu,” katanya.-MT

Loading...

Leave a Reply

error: Content is protected !!