KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa tindakan penguatkuasaan undang-undang di jalan raya dilakukan demi mengaut keuntungan untuk kerajaan di kala negara sedang berdepan pandemik Covid-19.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, pihaknya sedia maklum dengan tohmahan yang diterima anggota serta pegawai Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) setiap kali mereka melaksanakan tindakan penguatkuasaan lebih-lebih lagi jika melibatkan isu ekzos yang dilihat sangat dekat di hati rakyat Malaysia.
“Saya amat menghargai usaha gigih anggota serta pegawai yang menyahut seruan saya untuk mengesan serta mengambil tindakan ke atas motosikal yang dimodifikasi dan bising ini walaupun berhadapan dengan pelbagai tohmahan daripada banyak pihak.
“Bukan niat PDRM mencari duit lebih untuk kerajaan atau dikerah oleh kerajaan untuk melakukan penguatkuasaan bagi mendapatkan wang di kala waktu sukar negara dilanda pandemik Covid-19, sebaliknya ia dilakukan demi keselamatan penunggang dan ketenteraman orang awam amnya,” katanya ketika sidang akhbar di Bukit Aman di sini hari ini.
Turut hadir Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Azisman Alias dan penunggang-penunggang motosikal daripada Persatuan Sukan Bermotor Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Menurutnya, ada segelintir pihak menggelar PDRM sebagai tidak sensitif dan cuba mengambil kesempatan dalam kesempitan orang ramai yang terkesan akibat Covid-19, namun semua itu didakwa sebagai tidak benar.
“Kita ambil contoh bunyi bising ekzos motosikal, pihak PDRM terima aduan daripada orang ramai yang rasa terganggu dengan tindakan individu tidak bertanggungjawab menggugat ketenteraman penduduk di sesebuah penempatan.
“Adalah menjadi tanggungjawab PDRM untuk melindungi ketenteraman penduduk yang selama ini sengsara dibuatnya oleh pemilik-pemilik motosikal tidak bertanggungjawab dan kita tidak tahu sudah berapa banyak kali berlakunya pergaduhan di antara mereka,” katanya.
Jelasnya, proses mengubahsuai ekzos akan melibatkan kos yang tinggi dianggarkan kira-kira RM200 hingga ribuan ringgit dan ia dilakukan untuk kelihatan bergaya dan kononnya didakwa dapat meningkatkan kelajuan motosikal secara maksima.
“Pengubahsuaian ekzos ini akan mengakibatkan penghasilan bunyi yang kuat sehingga boleh mengganggu ketenteraman awam dan apabila tindakan saman serta sitaan dilakukan ramai pula diantara mereka yang tidak berpuas hati.
“Kata mereka tindakan saman diambil ketika Covid-19 menyukarkan kehidupan tetapi pada masa yang sama mereka sendiri sanggup mengeluarkan kos yang tinggi untuk mengubahsuai ekzos,” katanya. – K! ONLINE
Leave a Reply