Blog Berita Online

Berita Utama

Sarjan Mat Shah redah api selamatkan OKU, warga emas

REMBAU – Seorang anggota polis berpangkat sarjan nekad untuk meredah api setelah melihat seorang ibu sanggup berkorban menyelamatkan anaknya dalam tragedi kebakaran di Kampung Seberang Batu Hampar, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6.40 petang itu, Maimunah Mohd Shah, 81, masuk semula ke dalam rumah di bahagian pintu dapur bagi menarik keluar anaknya Zaidi Zainudin, 46, yang merupakan orang kelainan upaya (OKU) sehingga ke tangga dapur.

Menurut Sarjan Mat Shah Kasim, 57, tanpa memikirkan bahaya yang bakal dihadapinya berikutan keadaan api yang marak, bahang panas dan juga percikan api serta elektrik, dia nekad meredah bahagian dapur rumah yang sedang terbakar berkenaan.

“Saya lihat dari jauh seorang ibu sanggup berkorban menyelamatkan anak dan saya fikir, saya juga perlu nekad menyelamatkan dua beranak berkenaan lebih-lebih lagi memang menjadi keutamaan polis bagi membantu masyarakat.

“Alhamdulilah, walaupun keadaan pada masa itu agak bahaya, Allah masih melindungi saya semasa saya membawa mangsa yang melecur keluar sejauh lebih 10 meter dari rumah,” katanya ketika dihubungi Kosmo!, di sini, tadi.

Mat Shah yang merupakan anak kelahiran Masjid Tanah, Melaka itu berkata, ketika kejadian dia kebetulan melalui kawasan berkenaan selepas habis bertugas menghantar pegawainya ke Kedah atas satu urusan rasmi.

“Kedua beranak yang mengalami kecederaan melecur di beberapa bahagian anggota badan itu di hantar ke hospital bagi menerima rawatan lanjut,” katanya.

Menurutnya, dia tidak menyangkakan bakal berhadapan dengan situasi berkenaan sepanjang 39 tahun berkhidmat dalam pasukan polis bermula dengan Pasukan Polis Hutan Batalion 5 pada tahun 1982 dan kemudiannya bertukar ke Pasukan Gerakan Am.

“Pada tahun 2010 saya bertugas di Ibu Pejabat Polis (IPD) Rembau dan kini ditempatkan di Cawangan Logistik IPD Rembau,” katanya.

Leave a Reply