Berita Utama

‘Saya ingin memohon maaf kepada adik Veveonah…’ – Timbalan Menteri

TIMBALAN Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin memohon maaf kepada Veveonah Mosibin selepas mendakwa pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) itu tidak mengambil peperiksaan sebagaimana yang dipaparkan menerusi videonya memanjat pokok untuk mencari capaian internet, yang tular beberapa bulan lalu.

Menurut Zahidi, beliau telah menerima maklumat tidak tepat dalam menjawab soalan tambahan yang dikemukakan Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Donald Peter Mojuntin.

Zahidi turut berjanji akan membuat pembetulan mengenainya di Dewan Negara, Isnin depan.

“Merujuk kepada perbahasan di Dewan Negara hari ini (Khamis), saya ingin membetulkan kenyataan mengenai adik Veveonah Mosibin tidak menjalani sebarang peperiksaan ketika video beliau belajar di atas pokok tular di media sosial.

“Saya telah mendapat maklumat yang tidak tepat dalam menjawab soalan tambahan. Saya ingin memohon maaf kepada adik Veveonah Mosibin dan juga akan membuat pembetulan di Dewan Negara Isnin nanti.

“Semoga adik Veveonah Mosibin terus maju jaya dalam setiap bidang yang diceburi,” tulisnya dala kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook.

Terdahulu, Zahidi dalam perbahasan di Parlimen pada Khamis mendakwa remaja itu tidak menjawab sebarang peperiksaan ketika rakaman video memanjat pokok itu dibuat.

“Adik yang tersebut, dia YouTuber… dia tak ada peperiksaan ketika itu. Kita dah semak dah.

“Dia hanya YouTuber untuk ambil nama, dia terkenal sekejap dan dia buat hanya untuk hiburan.

“Tapi walau macam mana pun, kita minta pihak berwajib yang tidak ada line atau blind spot (titik buta), maklumkan pada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan kita akan segera atasi masalah tersebut terutamanya dari segi pendidikan untuk kita bantu rakyat,” demikian antara jawapan Zahidi ketika menjawab soalan Donald.

Veveonah, dari Pitas, Sabah, menjadi perhatian pada Jun lalu susulan videonya terpaksa memanjat pokok di kampungnya semata-mata untuk mendapatkan capaian internet yang baik dalam membolehkan beliau menjalani ujian, tular di internet.

Kisah tersebut menarik perhatian ramai sehingga ahli politik serta pihak bertanggungjawab melawat kampungnya dalam usaha memberi bantuan serta menawarkan rangkaian internet yang lebih baik. – THE STAR

Loading...

Leave a Reply

error: Content is protected !!