Berita Utama

‘Saya sebar gambar itu untuk bergurau, tak sangka ia viral’ – Jurugambar

“SAYA mohon orang ramai padam dan berhenti menularkan gambar ‘kurang senonoh’ rakan saya daripada media sosial masing-masing, ini adalah kesalahan saya semata-mata mahu bergurau sempena ulang tahun kelahiran rakan baik.”

Demikian penjelasan seorang jurugambar perkahwinan yang mahu dikenali sebagai Syafiq Avy, 33, selepas gambar sepasang pengantin bersama seorang wanita dalam keadaan tidak senonoh menjadi tular di media sosial.

Syafiq dari Kuching, Sarawak itu mengakui tindakan tanpa berfikir panjang itu menyebabkan rakannya yang juga pengantin lelaki berusia 29 tahun dan dua wanita dikecam teruk netizen.

“Wanita yang berada di tengah itu adalah kakak kandung kepada pengantin lelaki dan gambar itu adalah untuk simpanan peribadi kami saja.

“Bagaimanapun, saya akui ini semua salah saya kononnya untuk bergurau dengan rakan sempena ulang tahun kelahirannya dan memuat naik gambar berkenaan di Facebook saya.

“Tidak sangka, hantaran saya menjadi tular dan rakan, kakak serta isterinya dikecam teruk netizen,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurutnya, sebaik menyedari gambar itu tular, dia menghubungi rakannya untuk memohon maaf dan memadamnya segera.

“Walaupun rakan saya sudah memaafkan saya namun terbit rasa bersalah berikutan muka mereka kini menjadi tular disebabkan gurauan keterlaluan saya.

“Saya mengambil ini sebagai pengajaran dan berharap orang ramai tidak mencontohi tindakan saya, bergurau juga ada batasnya lebih-lebih lagi membabitkan maruah seseorang,” katanya kesal.

Ditanya bila gambar berkenaan diambil, Syafiq berkata, gambar itu diambil ketika perkahwinan rakan baiknya pada April tahun lalu.

“Ketika saya meminta mereka bergambar gaya bebas, secara spontan mereka bertiga melakukan aksi berkenaan.

“Tidak tahu apa yang ‘merasuk’ fikiran, saya boleh memuat naik gambar berkenaan di Facebook saya sehingga tular, pengalaman ini memberi saya pengajaran berharga,” katanya.

Loading...

Leave a Reply