KISAH cinta abadi bukan sekadar khayalan apabila sepasang suami isteri lanjut usia di Kabupaten Jeneponto, Sulawesi Selatan dilaporkan meninggal dunia pada waktu hampir sama pada Ahad lalu.
Tribunnews melaporkan, kisah pilu berkenaan dikongsi oleh seorang pemilik akaun Facebook, Bidan WhanyRannu semalam sebelum ia menjadi tular di media sosial.
Menurutnya, warga emas yang dikenali sebagai Maimunnah Yunus disahkan meninggal dunia pada jam 1.30 petang Ahad manakala suaminya, Batry Selkam turut meninggal selang 12 jam selepas itu.
Hantaran yang dibuat oleh pemilik akaun Facebook itu mendapat perhatian hingga ia dikongsi sebanyak 4,700 kali.
10 tanda kematian yang baik
HUSNUL khatimah atau pengakhiran hidup yang baik adalah keadaan seorang mukmin yang pada penghujung hidupnya diberi petunjuk oleh ALLAH SWT untuk meninggalkan segala perbuatan dosa.
Mati dalam husnul khatimah memiliki tanda tertentu. Antara tanda itu, ada yang hanya diketahui oleh bakal jenazah yang telah beroleh keredaan ALLAH. Namun ada juga tanda-tanda yang dapat diketahui secara umum.
Syeikh Abdurrahman As-Sa’di, dalam tafsirnya mengatakan itu adalah tanda kepada seorang Muslim yang teguh keimanannya dan kemuliaan tersebut berupa anugerah ALLAH.
Laman sesawang Mufti Wilayah Persekutuan menerusi artikel al-Kafi lil Fatawi menjelaskan, terdapat banyak hadis yang menyebut tentang tanda seseorang itu meninggal dunia dalam husnul khatimah.
Terlebih dahulu, antara syarat terpenting untuk mendapat husnul khatimah ialah mati dalam keadaan menganut agama Islam, beriman kepada ALLAH SWT dan melafazkan syahadah sebelum menutup mata. Ini kerana ALLAH tidak mengampunkan dosa orang yang melakukan syirik kepada-NYA, firman ALLAH di dalam Surah an-Nisa, ayat 48 yang bermaksud:
“Sesungguhnya ALLAH tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukanNYA (dengan sesuatu apa jua), dan akan mengampunkan dosa yang lain dari itu bagi sesiapa yang dikehendaki-NYA (menurut aturan Syariat-NYA). Dan sesiapa yang mempersekutukan ALLAH (dengan sesuatu yang lain), maka sesungguhnya ia telah melakukan dosa yang besar.”
Antara tanda bagi kematian husnul khatimah:
1. Mati pada hari atau malam Jumaat.
Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Abdullah Ibn ‘Amru, bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Tidak ada orang Islam yang meninggal dunia pada hari atau malam Jumaat kecuali ALLAH akan melindunginya daripada fitnah kubur.” (Hadis riwayat al-Tirmizi)
2. Mengucap dua kalimah syahadah sebelum menghembus nafas terakhir.
Berdasarkan sabda Rasulullah SAW: “Barang siapa yang akhir perkataannya ‘Tiada tuhan melainkan ALLAH’, nescaya dia akan memasuki syurga.” (Hadis Riwayat Abu Daud)
3. Meninggal dunia dalam keadaan berpeluh di dahinya.
Rasulullah SAW bersabda: “Tanda kematian bagi seorang mukmin ialah dengan berpeluh dahinya.” (Hadis Riwayat at-Tirmizi)
4. Dia diberikan taufik dan hidayah oleh ALLAH untuk beramal soleh sebelum meninggal dunia.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sekiranya ALLAH menginginkan kebaikan terhadap hamba-NYA, maka DIA menjadikannya sentiasa melakukan amal. Para sahabat bertanya, “Bagaimana DIA menjadikannya sentiasa melakukan amal?” Rasulullah bersabda: “ALLAH akan memberikan taufik padanya untuk melaksanakan amal soleh sebelum daripada kematiannya. (Hadith riwayat at-Tirmizi)
5. Selain itu, antara tanda yang lain ialah seseorang Muslim itu berasa gembira bertemu ALLAH SWT.
Di dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Anas Bin Malik, bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa gembira bertemu dengan ALLAH, maka ALLAH gembira bertemu dengannya. Dan barang siapa merasa berat bertemu dengan ALLAH, maka ALLAH juga merasa berat untuk bertemu dengannya.” (Hadis Riwayat Muslim)
6. Meninggal dunia disebabkan oleh penyakit yang berkaitan dengan perut.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Barang siapa yang mati akibat daripada penyakit berkaitan perut, maka dia mati dalam keadaan syahid.” (Hadis Riwayat Muslim)
7. Meninggal dunia dalam keadaan mati lemas, jatuh bangunan dan syahid di jalan ALLAH SWT.
Di dalam sebuah hadis yang bermaksud: “Orang yang mati syahid itu ada lima iaitu orang yang meninggal kerana penyakit taun, sakit perut, tenggelam, orang yang jatuh daripada bangunan atau tebing dan syahid di jalan ALLAH.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)
8. Meninggal dunia ketika bersalin.
Sebagaimana hadis: “Seorang Muslim yang terbunuh dikira syahid, kematian akibat wabak taun juga dikira syahid, kematian kerana sakit perut, mati lemas dan seorang wanita yang meninggal dunia kerana melahirkan anaknya dikira syahid.” (Hadis Riwayat Ibn Kathir)
9. Meninggal dunia kerana mempertahankan harta dan maruah dirinya.
Sebagaimana hadis yang bermaksud: “Datang seorang lelaki kepada Rasulullah SAW lalu bertanya: “Wahai Rasulullah SAW, bagaimana kalau ada seseorang yang hendak mengambil hartaku?” Baginda SAW bersabda, “Jangan engkau berikan hartamu!” “Bagaimana kalau dia melawanku?”. Baginda SAW bersabda; “Lawanlah dia!” “Bagaimana kalau dia membunuhku?” Baginda SAW bersabda; “Engkau syahid”. “Bagaimana kalau aku yang membunuhnya?” Baginda SAW bersabda: “Dia di neraka!” (Hadith riwayat Muslim)
10. Meninggal dunia dalam keadaan melaksanakan amalan soleh.
Berdasarkan hadis yang bermaksud: “Barang siapa yang mengucap ‘Laa ilaaha illallah’ ikhlas kerana mencari keredaan ALLAH SWT, dan diakhiri hayatnya dengan perkara tersebut nescaya dia akan masuk syurga. Barang siapa yang berpuasa pada suatu hari kerana ingin mencari keredaan ALLAH, dan diakhiri hayatnya dengan perkara tersebut nescaya dia akan masuk syurga. Barang siapa yang bersedekah ikhlas kerana ALLAH kemudian dia meninggal dunia, maka dia akan masuk syurga.” (Hadith Riwayat Ahmad)
Leave a Reply