Blog Berita Online

Berita Utama

Sekolah tempat lebih selamat, takkan ditutup – Noor Azmi

Sekolah masih dianggap sebagai kawasan selamat untuk pelajar, justeru kerajaan tiada cadangan untuk menutupnya kecuali bagi lokasi yang mencatat kes positif Covid-19.

Timbalan Menteri Kesihatan Dr Noor Azmi Ghazali berkata sekolah melaksanakan prosedur operasi standard yang sangat ketat seperti penjarakan fizikal, pemeriksaan suhu badan dan pengawasan aktiviti berkumpulan.

Orang awam juga, katanya, tidak dibenarkan keluar masuk sekolah, manakala pelajar yang tinggal di asrama tidak boleh balik.

“Di sekolah lebih selamat berbanding komuniti luar, jika tiada kes Covid-19, sekolah tidak akan ditutup,” katanya seperti dipetik Utusan Online.

Ahli parlimen Bagan Serai itu ditemui media selepas majlis pengagihan keuntungan Ladang Rakyat Daerah Kerian semalam.

Malaysia mencatatkan rekod kes positif Covid-19 paling tinggi semalam dengan hampir 700 orang disahkan dijangkiti penyakit berkenaan.

Ia semakin meningkatkan kebimbangan ibu bapa terutama selepas ada beberapa kes positif membabitkan pelajar dan guru dicatatkan.

Justeru ibu bapa berpendapat sudah sampai masanya Kementerian Pendidikan menutup sementara sesi persekolahan, atau sekurang-kurangnya membabitkan kehadiran secara fizikal.

Leave a Reply