Berita Utama

Semak arah kiblat paling tepat esok

MELAKA – Umat Islam di negeri ini boleh menyemak sendiri arah kiblat ketika fenomena Istiwa’ A’zam, iaitu kedudukan matahari berada tepat di atas Kaabah, lusa.

Mufti Melaka, Datuk Abdul Halim Tawil, berkata fenomena berlaku dua kali setahun itu menjadi penentu arah kiblat dengan memerhati bayang-bayang matahari yang dihasilkan objek tegak pada tepat jam 5.16 petang Rabu ini.

Beliau berkata, umat Islam perlu memilih ruang solat di masjid, surau, rumah atau pejabat yang menerima cahaya matahari pada waktu petang sebelum meletakkan sebatang tiang secara menegak di ruang berkenaan, atau menggunakan bayang sisi tingkap yang membolehkan cahaya matahari masuk ke ruang terbabit.

“Pastikan tiang berkenaan betul-betul tegak (seperti menggunakan sesiku). Selain tiang yang dipacakkan, semakan juga boleh dibuat berdasarkan tiang rumah, sisi rumah yang tegak atau mana-mana objek yang tegak,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menjelaskan lanjut, Abdul Halim berkata, jika arah bayang tegak lurus dengan saf, ia bermakna arah kiblat di masjid, surau dan tempat kediaman adalah tepat.

Bagaimanapun jika arah bayang objek itu serong dengan saf, katanya, ia bermakna arah kiblat berkenaan kurang tepat.

Beliau berkata, disebabkan fenomena itu berlaku pada petang, maka bayang-bayang tiang akan jatuh ke arah timur dan kiblat pula mengarah ke barat.

“Fenomena Istiwa’ A’zam berlaku dua kali setahun, iaitu Rabu ini dan 15 Julai depan pada jam 5.28 petang,” katanya.

Loading...

Leave a Reply