Berita Utama

Sempat bantu mangsa kemalangan sebelum maut dirempuh Myvi

KUALA LUMPUR – Niat murni seorang wanita untuk membantu mangsa kemalangan bertukar tragedi apabila dia maut dirempuh sebuah kereta di kilometer 7.3 Lebuhraya Kuala Lumpur-Putrajaya (Mex) di sini pada Selasa.

Nahas yang berlaku pada jam 10.15 malam melibatkan empat kenderaan turut menyebabkan seorang lagi lelaki cedera parah.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh, kejadian itu berlaku selepas sebuah kereta jenis Proton Saga telah hilang kawalan dan terbabas di lorong kanan.

Menurutnya, sejurus kejadian itu mangsa yang memandu sebuah kereta jenis Nissan Almera berhenti di hadapan kereta terbabit dan cuba memberikan bantuan.

 

“Dalam masa yang sama, beberapa kenderaan awam lain turut berhenti di bahu kiri jalan untuk memberikan bantuan.

“Tiba-tiba tiba datang sebuah kereta jenis Perodua Myvi yang dipandu oleh seorang lelaki telah merempuh kedua-dua mangsa yang sedang memberikan bantuan,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Dalam pada itu, Sarifudin berkata, orang ramai dinasihatkan supaya lebih berhati-hati dan mementingkan keselamatan diri ketika memberi bantuan kepada mangsa yang terlibat dengan kemalangan jalan raya terutamanya di kawasan yang berselekoh dan dalam keadaan yang gelap.

“Tidak digalakkan juga untuk berhenti di kawasan kemalangan terlalu ramai bagi mengelakkan kesesakan kerana ia akan menyebabkan kelewatan untuk pasukan keselamatan memberikan bantuan kepada mangsa kemalangan,” katanya.

Loading...

Leave a Reply

error: Content is protected !!