Berita Utama

Seniwati Julie Faridah meninggal dunia

KUALA LUMPUR – Industri hiburan hari ini dikejutkan dengan pemergian seorang lagi permata seni tanah air, seniwati Toh Puan Julie Faridah atau Joria Basir yang dilaporkan meninggal dunia akibat jangkitan virus, semalam.

Perkhabaran itu dimaklumkan oleh Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) menerusi perkongsian maklumat daripada anak Allahyarhamah iaitu Aziah Jasmin yang mengesahkan arwah menghembuskan nafas terakhirnya disi ketiga-tiga anaknya pada pukul 1.37 pagi di sebuah hospital di Ipoh, Perak.

Menurut Aziah, Allahyarhamah sebelum itu telah dimasukkan ke hospital selama dua minggu berikutan penyakit yang dihidapi sebelum meninggal dunia.

“Jenazah telah dibawa pulang ke rumah di Jalan Watson, Ipoh, Perak untuk segala urusan mandian dan pengkebumian.

“Jenazah kemudian dibawa ke perkarangan Masjid Datuk Panglima Kinta untuk dikebumikan bersebelahan kubur arwah suaminya pada jam 11 pagi,” katanya.

Julie Faridah ketika hayat dan zaman kegemilangannya terkenal dengan watak Faridah menerusi filem Keluarga 69 arahan Allahyarham Tan Sri P.Ramlee yang diterbitkan pada tahun 1967.

Seniwati yang merupakan anak kelahiran Bentong, Pahang ini juga pernah muncul dalam filem Mekanik pada tahun 1983.

Pun begitu, setelah berkahwin, Allahyarhamah terpaksa melupakan hasrat untuk terus aktif dalam dunia seni kerana mengikut arwah suaminya, Datuk Sri Azizul Hassan yang bertugas sebagai Pegawai Kanan Polis selain turut menyandang gelaran Orang Besar Jajahan Kinta ketika itu.

Allahyarhamah Julie meninggalkan tiga orang anak iaitu seorang lelaki dan dua perempuan dan berbesan dengan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail menerusi perkahwinan anak lelakinya, Mohammad Yaakob dengan Tengku Puteri Mahkota Perlis Sharifah Fariza Duli Tuanku Syed Sirajuddin.

Loading...

Leave a Reply

error: Content is protected !!