Blog Berita Online

Berita Utama

Seorang lagi anak Fatin Hazlin meninggal dunia

KUALA TERENGGANU – Selepas empat hari bertarung nyawa, Nur Qaireen Luthfiya Mohd Lekman, 5, kakak kepada Sayyid Uwais Al-Qarni atau Adam yang dilahirkan dengan otak di luar tempurung meninggal dunia, hari ini.

Nur Qaireen Luthfiya atau mesra dengan panggilan Bella meninggal dunia ketika dirawat di Unit Rawatan Rapi Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), jam 11.05 pagi ini.

Nur Qaireen Luthfiya meninggal dunia akibat cedera parah serta mengalami pendarahan pada paru-paru selepas kereta dipandunya ibunya, Fatin Hazlin Dahlia Mazlan, 30, terbabit dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 83 Kampung Bintang, Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu, Setiu, Jumaat lalu.

Dalam kemalangan itu, Fatin Hazlin Dahlia bersama anak istimewanya, Sayyid Uwais Al-Qarni, 12 bulan, dan dua anak kembar yang masih dalam kandungan meninggal dunia di tempat kejadian.

Kemalangan berlaku selepas Perodua Alza dipandu terbabas dan bertembung dengan lori tangki, di Kampung Bintang, Setiu, jam 4.40 petang Jumaat lalu.

Nenek mangsa, Sharifah Suzi Suriani Sayed Anuar, 53, berkata, Bella meninggal dunia selepas empat hari bertarung nyawa dan berada dalam keadaan koma.

Katanya, jenazah akan dikebumikan bersebelahan dengan kubur ibu dan adiknya di Tanah Perkuburan Batu Hampar, di sini, selepas proses bedah siasat selesai dilakukan, petang ini.

“Seorang mangsa iaitu cucu angkat saya, Muhammad Arsyad Syahiran Mohd Agil, 9, yang turut mengalami kecederaan parah masih dirawat ICU di HSNZ.

“Walaupun sedih, tetapi saya reda dengan kehilangan anak, Fatin Hazlin Dahlia, cucu istimewa Adam, dan Bella,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Dalam kemalangan itu, suami Fatin Hazlin iaitu Mohd Lekman Zakaria, 36, dan seorang lagi anaknya, Sayyid Lutfi Mohd Lekman, 7, hanya mengalami kecederaan ringan dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Kemalangan berlaku ketika Fatin Hazlin Dahlia dan Mohd Lekman serta anak-anaknya dalam perjalanan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, untuk rawatan susulan Adam.

Leave a Reply