Berita Utama

Makin banyak serpihan pesawat ditemui di Laut Jawa

JAKARTA – Pasukan penyelam Indonesia berjaya menemui serpihan pesawat Boeing 737-500 pada kedalaman 23 meter di Laut Jawa pada Ahad, sehari selepas sebuah pesawat dengan 62 penumpang terhempas sebaik sahaja berlepas dari Jakarta.

“Kami mendapat laporan daripada pasukan penyelam bahawa kadar penglihatan di dalam air adalah baik, dan ini membolehkan mereka menjumpai serpihan pesawat berkenaan,” kata Ketua Marshal Udara Hadi Tjahjanto dalam satu kenyataan di sini hari ini.

“Kami yakin kawasan berkenaan adalah tempat pesawat itu terhempas.”

Terdahulu, Tentera Laut Indonesia sudah mengenal pasti lokasi pesawat itu terhempas, petang semalam.

Media tempatan melaporkan bahawa Panglima Tentera Laut Indonesia Laksamana Muda TNI Abdul Rasyid Kacong berkata, sekurang-kurangnya 10 kapal kapal sudah dihantar ke lokasi berkenaan bagi melakukan operasi pencarian.

“Koordinat sudah dikenal pasti dan sudah dimaklumkan kepada kapal tentera laut di kawasan berkenaan,” katanya kepada pemberita.

Smeentara itu, Pasukan Palang Merah Indonesia telah menyediakan beberapa bot di Pantai Tanjung Kait, Kabupaten Tangerang, Banten bagi menunggu pasukan mencari dan menyelamat nahas pesawat.

Lima buah ambulans turut disediakan serta 100 beg mayat di lokasi sama bagi membawa mangsa yang ditemui ke hospital.

Pesawat Sriwijaya Air SJ 182 terputus hubungan ketika dalam perjalanan dari Jakarta ke Pontianak sekitar jam 2.47 petang waktu tempatan pada Sabtu.

“Lebih 50 anggota PMI telah dikerah bagi membantu pasukan mencari dan menyelamat. Selain itu sebanyak 100 beg mayat disediakan,” kata Ketua Bahagian Pengurusan Bencana PMI Pusat, Ridwan S Charmab dalam satu kenyataan di Jakarta pada Sabtu.

Loading...

Leave a Reply

error: Content is protected !!