Berita Utama

Simbah anak dengan air panas hingga mati, suami isteri dipenjara 27 tahun

PASANGAN suami isteri yang menyimbah anak lelaki mereka berusia lima tahun dengan air panas sehingga meninggal dunia dijatuhi hukuman penjara 27 tahun pada Isnin.

Ridzuan Mega Abdul Rahman, 28, diperintah menjalani hukuman penjara selama 27 tahun dengan 24 sebatan.

Isteri Ridzuan, Azlin Arujunah, 28, juga menerima hukuman penjara bagi tempoh yang sama tetapi dikenakan hukuman penjara tambahan selama setahun sebagai pengganti hukuman sebat, lapor Straits Times.

Pasangan itu menyimbah anak mereka dengan air panas sebanyak empat kali antara 15 dan 22 Oktober 2016 di sebuah rumah flat didiami mereka dekat Toa Payoh, Singapura.

Mangsa dibawa ke hospital selepas tidak sedarkan diri semasa kejadian kali keempat.

Kanak-kanak itu meninggal dunia akibat kecederaan parah yang dialaminya selepas melecur 75 peratus di badannya pada 23 Oktober 2016.

Pasangan tersebut turut melakukan beberapa penderaan lain terhadap mangsa termasuk mengurungnya di dalam sangkar haiwan.

Mangsa turut dipukul dengan penyapu manakala tapak tangannya juga melecur selepas ditekap dengan sudu panas.

Pasangan tersebut yang tidak bekerja didakwa melakukan pembunuhan itu dengan niat untuk mendatangkan kecederaan terhadap anak mereka. – Xinhua

Loading...

Leave a Reply