Berita Utama

Singapura bubar Parlimen di tengah gelombang Covid-19

SINGAPURA: Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong, hari ini menasihatkan presiden republik itu supaya membubarkan Parlimen.

Ini berikutan keputusan beliau untuk mengadakan pilihan raya umum (PRU) selepas mendapati keadaan di negara itu sudah stabil untuk melaksanakannya, walaupun masih memerangi wabak COVID-19.

“Saya memutuskan untuk mengadakan PRU sekarang dan memandangkan kita masih dilanda COVID-19, kempen kali ini tidak akan berjalan seperti biasa,” katanya dalam satu perutusan hari ini.

Pejabat Perdana Menteri, dalam satu kenyataan, berkata penamaan calon ditetapkan pada 30 Jun ini dan tarikh pengundian ialah pada 10 Julai ini, dengan tempoh kempen minimum sembilan hari.

Sejumlah 2,653,942 pengundi akan memilih 93 calon mewakili 17 kawasan Parlimen berkumpulan dan 14 kawasan Parlimen Individu.

Buat kali pertama, PRU Singapura akan menyaksikan minimum 12 Ahli Parlimen pembangkang dalam Parlimen, berikutan pindaan Perlembagaan yang dibuat bagi menjamin tidak kurang 12 Ahli Parlimen pembangkang dipilih.

Singapura perlu mengadakan PRU sebelum 2021, tetapi spekulasi bahawa ia akan diadakan lebih awal oleh Hsien Loong sudah lama diperkatakan.

People’s Action Party (PAP) pimpinan Hsien Loong sudah memenangi setiap PRU sejak kemerdekaan Singapura pada 1965 dan tidak pernah gagal memperoleh lebih 60 peratus undi.

Ini adalah kali keempat Hsien Loong memimpin PAP menghadapi PRU dan mungkin kali terakhir selaku Perdana Menteri kerana pernah menyuarakan hasrat untuk mencari pengganti bila mencapai usia 70 tahun pada 2022.

Timbalan Perdana Menteri, Heng Swee Keat, yang mengetuai kepemimpinan generasi keempat PAP, dilihat sudah bersedia untuk mengambil alih. – AGENSI

Loading...

Leave a Reply